
MELAKA, 25 April – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melancarkan Dasar Air Negara sebagai langkah holistik bagi memperkukuh tadbir urus air di seluruh negara.
- Pendekatan bersepadu Persekutuan dan negeri penting untuk pengurusan sumber air yang lebih berkesan.
- Perancangan menyeluruh merangkumi pengurusan sumber, bekalan, masalah air tidak berhasil dan cabaran kemarau.
- Dasar disokong Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 yang menekankan kerjasama utiliti, industri dan akademik.
- Sasaran pengurangan NRW kepada 28 peratus daripada purata semasa sekitar 33.4 peratus.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendekatan bersepadu antara Kerajaan Persekutuan dan negeri penting dalam memastikan pengurusan sumber air lebih berkesan.
“Maknanya tindakan lebih menyeluruh melibatkan perancangan di peringkat Persekutuan dan negeri, termasuk bagaimana kita mengurus sumber air, bekalan serta cabaran seperti air tidak berhasil (NRW) dan kemarau,” katanya.
Pelaksanaan dasar itu disokong Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) yang menekankan kerjasama pelbagai pihak termasuk utiliti, industri dan akademik.
PETRA menyasarkan kadar NRW dikurangkan kepada 28 peratus berbanding purata semasa sekitar 33.4 peratus.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia peringkat kebangsaan di Tanjung Bidara, Melaka.