KUANTAN, 1 Ogos - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi daripada tiga warga Turkiye yang hilang selepas kapal layar dinaiki mereka karam di perairan Pulau Yu, Terengganu, diteruskan.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pencarian itu dijangka mengambil masa empat hari sehingga rangka kapal berkenaan ditemukan.
Menurut beliau, operasi turut menggerakkan kapal KM Sebatik dan Kapal Penggalang 14 dari Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Pahang.
Lokasi pencarian turut diperluas sehingga 305 batu nautika dari perairan berkenaan.
"Alhamdulillah, dua orang dalam keadaan yang selamat cuma kita dalam usaha mencari seorang lagi. Kita telah menggerakkan dua aset laut dan satu helikopter.
"Operasi akan berterusan untuk tempoh masa tiga empat hari sehingga rangka kapal berkenaan ditemukan," katanya.
Tambah beliau, operasi SAR akan dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menggerakkan helikopter Pasukan Gerakan Udara, pada petang ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Santuni Madani APMM di Kampung Sungai Ular, Kuantan Pahang hari ini.
Turut hadir, Pengarah Maritim Negeri, Laksamana Pertama Mazlan Mat Rejab.
Terdahulu, media melaporkan tiga warga Turkiye yang dalam siri jelajah mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal terkesan ribut yang menyebabkan kapal layar Daisy dinaiki mereka karam, kira-kira 2.30 petang Selasa lalu.
Dua daripada mereka, ditemukan selamat oleh nelayan dan operasi carilamat digerakkan bagi mengesan seorang lagi mangsa.