Operasi SAR lima mangsa nahas helikopter di Sarawak giat dilakukan

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 9 September – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa termasuk juruterbang Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang (STOLport), Ulu Baram sedang giat dilakukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan penyelamat di lapangan, termasuk PDRM dan JBPM, melaksanakan operasi sejak 7.30 pagi.
  • Hospital Miri bersiap sedia di semua peringkat untuk menerima mangsa sebaik dikeluarkan dari lokasi kejadian.
  • Pasukan MHPSS KKM memberikan Bantuan Awal Psikologi dan sokongan emosi berterusan kepada keluarga serta rakan setugas.
  • Bantuan kewangan akan disalurkan melalui Tabung KSKIP serta bantuan ex-gratia daripada kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, operasi berkenaan dilaksanakan oleh pasukan penyelamat di lapangan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sejak 7.30 pagi tadi.

“Pihak Hospital Miri telah bersiap sedia sepenuhnya di semua peringkat untuk menerima mangsa sebaik sahaja mereka dibawa keluar dari lokasi kejadian.

“Sebarang maklumat terkini dan kenyataan rasmi akan diumumkan dari masa ke semasa sebaik sahaja kami memperoleh maklumat yang telah disahkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas berhubung insiden helikopter terhempas itu, di ibu negara hari ini.

Dalam pada itu, pasukan Sokongan Kesihatan Minda dan Sokongan Psikososial (MHPSS) Kementerian Kesihatan (KKM) turut digerakkan bagi memberikan sokongan psikologi kepada keluarga mangsa.

“Pasukan MHPSS KKM kini sedang mendampingi ahli keluarga bagi memberikan Bantuan Awal Psikologi (PFA) dan sokongan emosi berterusan, termasuk kepada rakan setugas pasukan FDS susulan trauma insiden ini.

“Dari sudut kebajikan pula, sumbangan kewangan kepada keluarga akan disalurkan melalui Tabung Kelab Sukan dan Kebajikan Ibu Pejabat KKM (KSKIP) serta bantuan ex-gratia daripada kerajaan,” katanya lagi.

Sidang media khas itu turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Ismuni Bohari.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.