
PUTRAJAYA, 9 September – Kos haji Muassasah bagi musim 1448H/2027M kekal pada RM33,300 seorang untuk tahun keempat berturut-turut, manakala bantuan RM1,000 kepada setiap bakal haji kumpulan B40 yang menunaikan haji buat kali pertama akan diteruskan.
- Kerajaan dan Lembaga Tabung Haji komited menjadikan haji dilaksanakan secara mampan dan saksama melalui bantuan serta subsidi bersasar.
- Struktur bayaran dibahagikan mengikut kumpulan sosioekonomi B40, M40 dan T20 dengan HAFIS disalurkan secara sasaran.
- TH berjaya mengawal kenaikan kos melalui tadbir urus cekap walaupun berdepan inflasi dan konflik geopolitik, mengekalkan kualiti perkhidmatan.
- Persiapan awal bagi musim haji telah dimulakan; surat tawaran akan dikeluarkan, dan bakal jemaah dinasihat sediakan kesihatan, kewangan serta ilmu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menerusi kenyataan memaklumkan Kerajaan Madani menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) komited memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan secara mampan dan saksama.
“Bayaran Haji bagi jemaah B40 kekal pada kadar RM15,000, manakala Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) bagi jemaah B40, termasuk bantuan RM1,000 Kerajaan, dikekalkan pada RM18,300 (55% daripada kos keseluruhan).
“Bayaran bagi jemaah M40 adalah RM23,500 dan HAFIS kekal pada kadar RM9,800 (29% daripada kos keseluruhan). Jemaah T20 pula perlu menjelaskan kos penuh RM33,300. TH memperuntukkan RM234 juta bagi menanggung HAFIS secara bersasar”, katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, meskipun berdepan tekanan inflasi perkhidmatan serta impak konflik geopolitik di Asia Barat, TH berjaya memantau dan mengawal kenaikan kos berasaskan tadbir urus yang cekap tanpa mengorbankan kualiti perkhidmatan.
“Standard perkhidmatan ini terbukti cemerlang apabila Malaysia memenangi Labbaytum Diamond Award buat kali kedua pada musim haji 2026.
“Kerajaan bersama TH akan sentiasa memantau struktur kos dari semasa ke semasa mengikut persekitaran global demi memastikan kebajikan dan kelancaran urusan duyufurrahman terus dipelihara.
Menurut Dr. Zulkifli, persiapan awal bagi musim haji 1448H/2027M telah dimulakan dan surat tawaran haji akan mula dikeluarkan secara berperingkat pada bulan ini.
Bakal jemaah dinasihatkan agar membuat persediaan rapi dari segi kesihatan, kewangan, dan kefahaman ilmu selaras dengan konsep istito’ah.
“Kerajaan berkeyakinan tinggi bahawa hubungan erat yang terjalin antara Malaysia, TH, dan Kerajaan Arab Saudi akan terus memperkukuh kerjasama serta kualiti penyampaian perkhidmatan haji yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia”, katanya.