FDS diteruskan, pastikan akses perubatan sampai di pedalaman Sarawak

Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 September – Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di kawasan pedalaman Sarawak bagi memastikan kesinambungan akses rawatan perubatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkhidmatan FDS penting untuk mencapai liputan kesihatan sejagat dan memastikan komuniti pedalaman tidak terpinggir daripada menerima rawatan.
  • Aspek keselamatan penerbangan, terutama penggunaan helikopter, tertakluk kepada bidang kuasa agensi berkenaan dan input mereka akan diambil kira.
  • Perkhidmatan Medevac mesti diteruskan untuk pesakit kritikal jika penerbangan dibenarkan mengikut cuaca dan aspek keselamatan; perkhidmatan berjadual disemak semula.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkhidmatan berkenaan amat penting kepada masyarakat pedalaman demi memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada menerima akses kesihatan.

“Antara perkara penting untuk kita capai dalam perkhidmatan FDS ini adalah apa yang dikatakan sebagai liputan kesihatan sejagat.

“Jadi, kita akan teruskan, memperkasa dan terus memberikan perkhidmatan ini. Tidak ada penghentian,” katanya dalam sidang media khas berhubung insiden helikopter terhempas pada Selasa, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab menjelaskan aspek keselamatan penerbangan FDS, khususnya penggunaan helikopter, tertakluk kepada bidang kuasa agensi berkaitan.

KKM akan mengambil kira input daripada pihak berkuasa berhubung aspek keselamatan penerbangan sebelum membuat keputusan mengenai penggunaan helikopter bagi meneruskan perkhidmatan FDS.

FDS merangkumi beberapa komponen utama termasuk perkhidmatan berjadual yang dilaksanakan sebulan sekali atau setiap dua bulan mengikut keperluan penduduk, selain perkhidmatan pemindahan perubatan (Medevac) bagi membawa pesakit kritikal.

“Bagi perkhidmatan Medevac, sekiranya terdapat keperluan untuk membawa pesakit kritikal dan penerbangan dibenarkan dengan mengambil kira keadaan cuaca serta aspek keselamatan, ia perlu diteruskan kerana melibatkan pesakit kritikal.

“Bagaimanapun, bagi perkhidmatan berjadual, perkara itu akan diteliti semula dan dari masa ke semasa kita akan memberikan input kepada pasukan di lapangan,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.