Gangguan trafik udara di UK : Malaysia Airlines batalkan penerbangan MH1, ubah laluan MH4

Lebih 1,000 penerbangan dibatalkan di lapangan terbang di seluruh UK/Foto AFP

KUALA LUMPUR, 9 September – Penerbangan Malaysia Airlines MH1 dari London Heathrow (LHR) ke Kuala Lumpur (KUL) yang dijadual hari ini dibatalkan susulan gangguan teknikal meluas yang menjejaskan sistem kawalan trafik udara National Air Traffic Services (NATS), United Kingdom (UK), semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penerbangan MH4 dari KUL ke LHR dilencongkan ke Lapangan Terbang Manchester.
  • Malaysia Airlines mengendalikan penerbangan pemulihan MH4D dan MH1D untuk memulangkan penumpang yang terjejas.
  • Syarikat menanggung penginapan sehingga £150 semalam, makanan munasabah dan pengangkutan tempatan; penumpang perlu simpan resit untuk tuntutan.

Kenyataan syarikat penerbangan nasional itu menyebut, gangguan berkenaan telah mengakibatkan operasi penerbangan di beberapa lapangan terbang di UK turut terjejas.

Sehubungan itu, penerbangan Malaysia Airlines MH4 dari KUL ke LHR pada 8 September telah dilencongkan ke Lapangan Terbang Manchester (MAN).

”Bagi memudahkan urusan penumpang yang terjejas, Malaysia Airlines akan mengendalikan penerbangan pemulihan khas dengan nombor penerbangan MH4D dan MH1D.

”MH4D akan berlepas dari Manchester pada 5.45 petang waktu tempatan dan tiba di London Heathrow pada 6.45 petang, manakala MH1D dijadualkan berlepas dari London Heathrow pada 8 malam dan tiba di Kuala Lumpur pada 4.15 petang esok,”menurut kenyataan berkenaan.

Malaysia Airlines akan menanggung kos penginapan hotel sehingga £150 bagi setiap bilik, setiap malam, selain perbelanjaan makanan yang munasabah serta pengangkutan darat tempatan termasuk teksi, Uber atau kereta api.

Penumpang dinasihat menyimpan semua resit terperinci dan mengemukakan tuntutan bayaran balik menerusi Borang Maklum Balas di laman web Malaysia Airlines.

Syarikat penerbangan itu turut menasihatkan penumpang MH4 supaya terus ke penginapan masing-masing tanpa menunggu bagasi daftar masuk di Lapangan Terbang Manchester.

Ini berikutan proses menurunkan bagasi tidak dapat dilaksanakan dengan selamat susulan kesesakan ruang parkir pesawat dan kekangan tempat letak pesawat di kawasan terpencil.

“Malaysia Airlines amat kesal dengan kesulitan yang berlaku akibat gangguan sistem ini. Perkembangan operasi selanjutnya akan dimaklumkan secara terus kepada penumpang yang terjejas menerusi e-mel dan SMS,” tambahnya.

Lebih 1,000 penerbangan dibatalkan di lapangan terbang di seluruh UK pada Selasa berikutan kegagalan teknikal pada perkhidmatan kawalan trafik udara Britain.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.