PNB lancar Sukuk Boleh Tukar Bercagar kedua bernilai AS$300 juta

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 9 September – Permodalan Nasional Bhd (PNB) melancarkan Sukuk Boleh Tukar Bercagar (Sukuk Boleh Tukar) kedua bernilai AS$300 juta, mencerminkan komitmen berterusannya untuk mengoptimumkan portfolio menerusi penyelesaian pasaran modal inovatif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hasil terbitan akan digunakan bagi pelaburan dalam aset sukuk global berdenominasi dolar AS.
  • Sukuk boleh ditukar kepada saham biasa SD Guthrie Bhd, matang lima tahun, dengan pilihan jualan pelabur pada akhir tahun ketiga.
  • Inisiatif ini selaras dengan Pelan Strategik LEAP-6, memperluas pelaburan merentasi geografi dan kelas aset sambil mengekalkan pelaburan domestik.

PNB dalam kenyataan memaklumkan, tawaran kedua itu menyusuli penerbitan sulung Sukuk Boleh Tukar pada nilai sama yang dilancarkan Januari 2026.

Hasil daripada terbitan kedua itu akan digunakan bagi pelaburan dalam aset sukuk global dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS).

”Ia selaras dengan objektif Perumpukan Aset Strategik PNB serta tumpuannya dalam meningkatkan pulangan jangka panjang.

“Transaksi ini membolehkan PNB mengekalkan pegangan ekuiti awam domestiknya yang signifikan, selain menggunakan pendekatan inovatif untuk mendapatkan hasil dalam mata wang asing bagi tujuan pelaburan dalam aset sukuk global berdenominasi dolar AS, sekali gus meningkatkan kepelbagaian portfolio dan kecekapan modal,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli dalam kenyataan sama memaklumkan, penerbitan Sukuk Boleh Tukar itu merupakan satu lagi pencapaian pentingdalam pelaksanaan Pelan Strategik LEAP-6 sehingga tahun 2027.

“Seiring dengan pelaksanaan LEAP-6, PNB akan terus memperluaskan portfolio pelaburannya merentasi pelbagai geografi dan kelas aset, termasuk sukuk global untuk mempelbagaikan sumber pulangan, di samping mengekalkan pelaburan domestik,” menurut Datuk Rizal Rickman Ramli.

Mengulas lanjut, sukuk tersebut boleh ditukar kepada saham biasa SD Guthrie Bhd, dengan tempoh matang lima tahun bersama pilihan jualan oleh pelabur pada akhir tahun ketiga.

Tawaran berkenaan dijangka akan terus memperkukuh pasaran instrumen boleh tukar berkaitan Malaysia serta menyokong pembangunan berterusan pasaran sukuk domestik dan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pembiayaan patuh Syariah.

Menurut pengurus dana itu, tawaran tersebut akan dilaksanakan menerusi Mekar Capital II Ltd, sebuah syarikat tujuan khas yang diperbadankan di Labuan dan bertindak sebagai penerbit, manakala Mekar Capital I Ltd bertindak sebagai obligor.

BNP Paribas, JP Morgan dan Maybank bertindak sebagai Pengurus UtamaBersama dan Pengurus Buku Bersama bagi transaksi itu, manakala Maybank Islamic Bhd merupakan penasihat Syariah bagi transaksi berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.