
LANGKAWI, 9 September – Kementerian Kesihatan (KKM) komited memperkukuh perkhidmatan fisioterapi sebagai sebahagian daripada agenda reformasi sistem kesihatan negara bagi memastikan rakyat mendapat akses penjagaan rehabilitasi lebih berkualiti dan menyeluruh.
- Sistem kesihatan perlu beralih ke penjagaan menyeluruh termasuk promosi, pencegahan, rehabilitasi dan penjagaan berterusan.
- KKM memperuntuk RM7.91 juta bagi memperoleh 535 unit aset perubatan baharu untuk kemudahan fisioterapi seluruh negara.
- Warga fisioterapi digesa manfaatkan AI, robotik dan telerehabilitasi; teknologi memperkasa, bukan menggantikan sentuhan manusia.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Mohd Azman Yacob menegaskan, sistem kesihatan negara kini perlu beralih daripada pendekatan yang hanya tertumpu kepada rawatan penyakit kepada penjagaan menyeluruh merangkumi promosi kesihatan, pencegahan, rehabilitasi serta penjagaan berterusan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Fisioterapi KKM Ke-8 sempena Hari Fisioterapi Sedunia 2026 di sini, pada Selasa.
“Sebagai langkah komitmen perkhidmatan tersebut, KKM telah memperuntuk RM7.91 juta bagi memperoleh 535 unit aset perubatan baharu untuk ditempatkan di kemudahan fisioterapi seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa warga fisioterapi agar memanfaat penemuan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan telerehabilitasi.
“Teknologi tersebut berperanan untuk memperkasa, bukannya menggantikan sentuhan manusia dalam penjagaan pesakit,” tegas beliau.
Majlis perasmian persidangan berkenaan disempurnakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin di sini.
Persidangan yang berlangsung selama empat hari bermula 7 September lalu menghimpunkan lebih 500 ahli fisioterapi, pakar akademik dan pemain industri bagi membincangkan inovasi serta hala tuju masa depan perkhidmatan rehabilitasi negara.