Operasi pemadaman kebakaran kawasan Jalan Bypass Sebana Cove dipergiat

Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Baharuddin Idris / Foto RTM

KOTA TINGGI, 25 Ogos – Kebakaran melibatkan 51.4 hektar kawasan tanah gambut di Jalan Bypass Sebana Cove-Punggai, Pengerang di sini masih berterusan dan operasi pemadaman kini giat dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi pemadaman dijalankan secara agresif dengan serangan terus, menunggu dua unit ekskavator lebih besar khususnya jenis amfibia.
  • Sektor A berjaya dipadamkan kira-kira 10 hektar (9.7%), sektor B dikawal 19.5% sejak operasi bermula.
  • Jalan Bypass Sebana Cove-Punggai ditutup sepenuhnya sejak 2 petang semalam dan penduduk setempat tidak terjejas.

Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Baharuddin Idris berkata, kebakaran itu melibatkan dua bahagian iaitu sektor A dan sektor B dengan keluasan masing-masing 35.6 hektar dan 15.8 hektar.

Sehingga kini, kira-kira 10 hektar atau 9.7 peratus kawasan di sektor A berjaya dipadamkan.

Manakala, 19.5 peratus di sektor B turut berjaya dikawal sejak operasi pemadaman bermula semalam.

Bagaimanapun, punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Kita melaksanakan kaedah pemadaman secara agresif dengan pendekatan serangan terus. Pada masa sama, kita masih menunggu bantuan ekskavator daripada agensi lain yang dijangka tiba tengah hari ini sebanyak dua unit lagi.

“Ekskavator yang digunakan ketika ini bersaiz kecil, jadi kita memerlukan jentera yang lebih besar, khususnya jenis amfibia yang mampu meredah kawasan hutan dan paya.” jelasnya.

Jalan Bypass Sebana Cove-Punggai, Pengerang ditutup sepenuhnya untuk laluan awam bermula 2 petang semalam.

Setakat ini, insiden tidak menjejaskan penduduk setempat.

Kejadian kebakaran tersebut merupakan insiden kali kedua dalam tempoh setahun.

Seramai 21 anggota termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.