fb fb fb fb fb

Operasi kaunter LHDN bermula 8 pagi hingga 4 petang sepanjang Ramadan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 11 Mac- Kaunter perkhidmatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di semua Pejabat Cawangan LHDN akan beroperasi dari 8 pagi hingga 4 petang pada Isnin hingga Jumaat sepanjang Ramadan ini, mulai esok hingga 9 April kecuali di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.

LHDN menerusi satu kenyataan memaklumkan bagi keempat-empat negeri itu, perkhidmatan pada Ahad hingga Rabu bermula dan tamat pada waktu sama, manakala pada Khamis, operasi ditetapkan bermula 8 pagi hingga 3 petang.

Perkhidmatan HASiL Contact Centre (HCC) pula akan beroperasi dari 9 pagi hingga 4 petang manakala Pusat Pengurusan Terimaan HASiL (PPTH) di Kuala Lumpur untuk perkhidmatan tunai, kad kredit/debit beroperasi dari 8 pagi hingga 3 petang, sementara bagi perkhidmatan selain tunai dan kad kredit/debit, operasi berakhir 3.30 petang.

Kenyataan sama memaklumkan PPHT di Kuching bagi Bayaran Sijil Pendaftaran Nama Perniagaan beroperasi mulai pukul 8 pagi hingga 3 petang.

Menurut LHDN operasinya di semua Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara pula beroperasi setiap hari bermula 8 pagi hingga 4.30 petang hingga 8 April ini, dan hanya dibuka hingga 1 tengah hari pada 9 April.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE