
DENGKIL, 23 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama yang dikenal pasti sebagai penyumbang kepada kemalangan jalan raya sepanjang Op Hari Raya Aidiladha (Op HRAA) yang bermula 24 hingga 31 Mei ini.
- Operasi dilaksanakan menyeluruh berstrategi melalui konsep Perception of Being Caught dengan penempatan anggota di lokasi tumpuan termasuk terminal bas.
- Penggunaan teknologi dan aset penguatkuasaan termasuk EAC, kamera badan serta pemantauan di 288 lokasi berisiko tinggi.
- Tindakan tegas tanpa kompromi; operasi khas bagi penunggang motosikal dan penggunaan tujuh unit dron untuk pengesanan pelanggaran.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, operasi berkenaan akan dilaksanakan secara menyeluruh dan berstrategi menerusi konsep Perception of Being Caught (POBC) dengan penempatan anggota di lokasi tumpuan utama termasuk terminal bas.
“Sembilan kesalahan utama tersebut ialah memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, membawa muatan berlebihan serta membawa muatan secara berbahaya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan operasi berkenaan di sini, malam tadi.
Beliau berkata, seramai 2,500 pegawai dan anggota akan ditugaskan sepanjang tempoh operasi tersebut, yang turut diperkukuh dengan penggunaan teknologi serta aset penguatkuasaan termasuk Enforcement Action Camera (EAC), kamera badan (body-worn camera) serta pemantauan di 288 lokasi dikenal pasti berisiko tinggi.
Antara laluan utama yang diberi tumpuan ialah Kuala Lipis ke Kuala Krai, Gerik ke Jeli, Hulu Terengganu ke Kuala Terengganu, Segamat ke Mersing serta laluan Terowong Menora hingga ke Sungai Perak.
Selain itu, operasi khas terhadap penunggang motosikal turut dilaksanakan memandangkan golongan itu kekal antara pengguna jalan raya paling berisiko terlibat dalam kemalangan.
“JPJ tingin menegaskan bahawa sebarang pelanggaran undang-undang jalan raya akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi, ” katanya.
Dalam pada itu, JPJ akan menggunakan tujuh unit dron bagi mengesan kesalahan seperti memotong di garisan berkembar dan menggunakan lorong kecemasan, khususnya di kawasan yang kerap berlaku kemalangan.
Menurut beliau, penggunaan dron sebelum ini terbukti berkesan dalam meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan, sekali gus akan dimaksimumkan sepanjang Op HRAA bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya bersempena Aidiladha.