Op e-waste dipergiat, 133 kontena dihantar pulang

Foto RTM

PELABUHAN KLANG, 1 Julai – Penguatkuasaan terhadap import dan eksport haram buangan terjadual terus diperkukuh dengan pelaksanaan operasi bersepadu di pintu masuk negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • 133 kontena berjaya dihantar pulang ke negara asal; tindakan lanjut diambil terhadap baki mengikut prosedur.
  • Kerajaan menggantung lesen syarikat yang gagal mematuhi arahan pengeluaran kontena dalam tempoh ditetapkan.
  • Pendekatan bersepadu JAS, Kastam, AKSEM dan Westports meningkatkan kecekapan pemeriksaan serta penyelarasan operasi pintu masuk negara.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, sehingga kini sebanyak 54 operasi pemeriksaan telah dijalankan melibatkan 777 kontena, dengan 462 daripadanya dikenal pasti mengandungi buangan terjadual.

“Daripada jumlah itu, 133 kontena telah berjaya dihantar pulang ke negara asal, manakala tindakan lanjut sedang diambil terhadap baki kontena mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Unit Pelabuhan Port Klang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi meninjau pelaksanaan operasi penguatkuasaan terhadap kemasukan buangan elektronik (e-waste) dan buangan terjadual ke negara ini.

Sepanjang lawatan itu, beliau turut diberi taklimat mengenai kesiapsiagaan unit berkenaan termasuk struktur operasi, proses pemeriksaan kontena serta tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan, selain menyaksikan pemeriksaan dua kontena yang disyaki mengandungi e-waste.

Bagi Fasa 1, sebanyak 148 kontena diperiksa dengan 139 daripadanya berjaya dikeluarkan dari Malaysia. Susulan itu, kerajaan bersetuju mengenakan penggantungan lesen terhadap syarikat yang gagal mematuhi arahan pengeluaran dalam tempoh ditetapkan.

Sementara itu, pemeriksaan Fasa 2 yang melibatkan 615 kontena sedang dipergiatkan melalui kerjasama pelbagai agensi bagi mempercepatkan tindakan susulan.

Menurut beliau, pendekatan bersepadu melibatkan JAS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta Westports Malaysia terbukti meningkatkan kecekapan pemeriksaan dan penyelarasan operasi di pintu masuk negara.

“Kerjasama strategik ini penting bagi memastikan setiap kontena yang disyaki dapat dikenal pasti, diperiksa dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Tambahnya, kementerian akan terus memperkukuh kapasiti operasi termasuk aspek sumber manusia, prosedur dan penyelarasan antara agensi bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan destinasi pelupusan buangan haram.

Langkah itu juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam melindungi alam sekitar, kesihatan awam serta kepentingan negara melalui sistem penguatkuasaan yang lebih cekap dan berkesan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.