
PUTRAJAYA, 27 April – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-Kesatuan Eropah ke-25 (25th AEMM) yang berlangsung di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam, selama dua hari bermula hari ini.
- Menilai kemajuan Dialog ASEAN-Kesatuan Eropah dan menetapkan hala tuju kerjasama strategik masa depan.
- Menjadi platform pertukaran pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa serta persiapan ulang tahun ke-50 hubungan pada 2027.
- Dijangka menerima pakai Kenyataan Bersama yang menegaskan kepusatan ASEAN dan memperkukuh komitmen merentasi tiga tonggak selaras Visi Komuniti ASEAN 2045.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat tersebut akan menilai kemajuan hubungan Dialog ASEAN-Kesatuan Eropah serta menetapkan hala tuju kerjasama strategik pada masa hadapan.
Mesyuarat dwitahunan itu juga menjadi platform kepada ASEAN dan Kesatuan Eropah untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, selain membincangkan persiapan sempena ulang tahun ke-50 hubungan ASEAN-Kesatuan Eropah pada tahun 2027.
Dalam masa sama, mesyuarat dijangka menerima pakai Kenyataan Bersama Menteri-Menteri ASEAN-Kesatuan Eropah ke-25 yang antara lain akan menegaskan kepentingan Kepusatan ASEAN.
Ia turut dijangka memperkukuh komitmen terhadap kerjasama ASEAN-Kesatuan Eropah merentasi tiga tonggak Komuniti ASEAN selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2045, selain mencerminkan pandangan bersama mengenai perkembangan utama di peringkat serantau dan global.
Di sela-sela mesyuarat itu, Datuk Seri Mohamad turut dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari negara-negara ASEAN dan Kesatuan Eropah bagi membincangkan isu dua hala serta perkara-perkara berkepentingan bersama.