Amalan zikir perkukuh jiwa, bawa ketenangan hidup – Raja Perlis

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyempurnakan majlis penutup program Perkampungan Sunnah Siri Ke-11 di pekarangan Masjid Alwi/ BERNAMA  

KANGAR, 27 April – Zikir adalah nadi yang sentiasa menghidupkan jiwa seorang manusia agar menjadi hamba Allah yang taat dan memperoleh ketenangan dalam kehidupan harian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Titah Baginda: orang yang sentiasa mengingati Allah akan memperoleh ketenangan dan lebih teratur dalam urusan kehidupan.
  • Amalan zikir yang konsisten membentuk personaliti positif, mendorong rasa syukur walau dalam kekurangan.
  • Pilih zikir menurut kaifiat Rasulullah SAW kerana itulah sebaik-baik zikir; amat duka bila umat mengabaikannya.

Zikir adalah ingatan dan kebergantungan kita kepada Allah SWT yang ada dengan tautan jantung hati, sebutan lisan dan juga amal ibadah dimana menjadi tanda dan bukti perhambaan manusia kepada Allah SWT yang mendambakan keredhaan dan perlindungan dari-Nya.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, mereka yang sentiasa mengingati Allah SWT akan memperoleh ketenangan dan lebih teratur dalam urusan kehidupan harian.

Tanpa zikrullah, maka manusia akan hanyut dalam kehidupan tanpa pautan dan panduan yang jelas dalam hidup.

Titah Baginda, mereka yang sentiasa dengan zikrullah, walaupun hidup ini serba kekurangan namun sering sahaja bersyukur dan berasa cukup dengan segala nikmat yang dikurniakan dalam hidupnya.

Amalan zikir yang konsisten mampu memberi kesan positif dalam pembentukan personaliti yang membawa kepada ketenangan dalam kehidupan.

“Dalam mengamalkan zikir dalam kehidupan, setiap manusia perlu mengambil berat tentang pentingnya memilih zikir-zikir yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

“Sebaik-baik zikir dan kaifiatnya, tidak ada yang lebih baik daripada apa yang diajar oleh Baginda Rasulullah SAW. Amat mendukacitakan apabila sebahagian daripada umat ini tidak mengambil berat tentang peninggalan Rasulullah dalam berzikir”, titah Baginda.

Demikian titah Baginda sempena Majlis Perasmian Penutup Perkampungan Sunnah Siri Ke-11 anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis di Perkarangan Masjid Alwi, Kangar.

Perkampungan Sunnah Siri Ke-11 kali ini mengangkat tema “Zikrullah: Menghidupkan Sunnah, Mendapatkan Fadhilah” berlangsung selama tiga hari yang disertai lebih 30,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Turut berangkat ke program itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.