Program Jualan Agro Madani manfaatkan lebih 70,000 pengguna di Perlis

Foto Facebook FAMA Negeri Perlis

KANGAR, 27 April – 46 Program Jualan Agro Madani akan dilaksanakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis, pada 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • FAMA sediakan ruang pasaran tambahan kepada usahawan tempatan, membolehkan pemasaran langsung produk mereka.
  • 17 program libatkan 155 usahawan, jualan melebihi RM100,000, memberi manfaat kepada lebih 70,000 pengguna Perlis.
  • Program kurangkan kos sara hidup melalui harga munasabah, kurang perantara; FAMA sediakan 2,000 Kombo Madani; Agrofest lonjak pendapatan usahawan RM450,000.

Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata usaha itu bagi menyedia ruang pasaran tambahan kepada usahawan tempatan untuk memasarkan secara terus produk keluaran mereka.

Sehingga semalam, sebanyak 17 Program Jualan Agro Madani, telah dilaksanakan di seluruh negeri ini dan membabitkan 155 usahawan
bimbingan FAMA yang memasarkan pelbagai produk kepada pengguna.

Dalam tempoh berkenaan, nilai jualan melebihi RM100,000 direkodkan yang memberi manfaat kepada lebih 70,000 pengguna di seluruh Perlis.

“Menerusi Program Jualan Agro Madani ini membolehkan pengguna mendapatkan barangan keperluan harian dan produk agromakanan pada kadar harga yang munasabah dan lebih jimat daripada pasaran.

Usaha ini juga bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan mengurangkan lapisan perantara pasaran dan inisiatif kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan,” katanya dalam Program Jualan Agro Madani bersempena Perlis Agrofest 2026 di Sungai Batu Pahat.

Sebanyak 2,000 set Kombo Madani disediakan FAMA Perlis dalam program berkenaan yang menjadi tumpuan pengguna.

Menurutnya, penganjuran Perlis Agrofest berjaya melonjakan pendapatan usahawan bimbingan FAMA sebanyak RM450,000 ringgit yang direkodkan sepanjang tiga hari penganjurannya.