
TAPAH, 28 Mei -Kira-kira 36 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi digerakkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diteruskan hari ini, bagi mengesan kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, di kawasan Gunung Batu Putih.
- Satu kawasan winching point dibuka di Kem Salai Matahari anggaran 100 kaki persegi.
- Kawasan itu memudahkan tindakan jika bantuan pesawat udara diperlukan untuk keluar masuk pasukan penyelamat.
- Kesemua pasukan penyelamat bermalam di puncak Gunung Batu Putih, Kem Sukaneka dan Gunung Rayu untuk mempercepat operasi pencarian.
- Lokasi winching point sedia ada di Puncak Bukit Batu Putih dan Puncak Bukit Berapit 2 mengambil masa perjalanan lebih jauh ke lokasi pencarian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, satu kawasan ‘winching point’ turut dibuka di Kem Salai Matahari yang dianggarkan berkeluasan kira-kira 100 kaki persegi.
Kawasan itu dibuka bagi memudahkan tindakan lanjut sekiranya bantuan pesawat udara diperlukan, terutama untuk pergerakan keluar masuk pasukan penyelamat.
“Kesemua pasukan penyelamat dilaporkan bermalam di kawasan puncak gunung sekitar Gunung Batu Putih, Kem Sukaneka dan Gunung Rayu bagi mempercepatkan operasi pencarian.
“Lokasi ‘winching point’ sedia ada di Puncak Bukit Batu Putih dan Puncak Bukit Berapit 2 mengambil masa perjalanan yang lebih jauh ke lokasi pencarian,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi SAR masih diteruskan sehingga mangsa berjaya ditemukan.