Dividen KWSP 2026 dijangka sekitar 6.0% hingga 6.3%, bergantung risiko global

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid/RTM

KUALA LUMPUR, 28 Mei -Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2026 dijangka kekal kukuh dalam lingkungan sekitar 6.0 peratus hingga 6.3 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Unjuran dividen bergantung kepada risiko global seperti inflasi, tindakan ketat bank pusat dan gangguan bekalan akibat ketidaktentuan Selat Hormuz.
  • Pendapatan pelaburan KWSP melonjak 51% kepada RM27.73 bilion bagi suku pertama, namun masih terlalu awal untuk jadikan ia asas kukuh unjuran dividen.
  • Pencarum disarankan mengurus kewangan berhemah dan elak pengeluaran tidak perlu supaya KWSP terus memanfaatkan kesan penggandaan jangka panjang.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, jangkaan tersebut bagaimanapun bergantung kepada keadaan ekonomi semasa serta pelbagai risiko yang masih mempengaruhi pasaran.

“Namun dari segi unjuran, masih terdapat pelbagai risiko yang perlu dihadapi, terutamanya berkaitan kenaikan kadar inflasi serta tindakan bank-bank pusat dunia dalam bertindak balas terhadap keadaan tersebut. Kita melihat beberapa bank pusat seperti di Australia, Filipina dan Indonesia telah memulakan fasa dasar monetari yang lebih ketat bagi mengekang inflasi.

“Selain itu, ketidaktentuan bekalan susulan penutupan Selat Hormuz turut masih berterusan. Justeru, terdapat pelbagai faktor yang boleh mengubah landskap pelaburan serta pulangan yang bakal dicapai,” katanya ketika dihubungi RTM.

Mengulas lanjut, katanya prestasi pendapatan pelaburan KWSP menunjukkan peningkatan ketara dengan melonjak 51 peratus kepada RM27.73 bilion bagi suku pertama tahun ini.

Namun, masih terlalu awal untuk menjadikannya asas kukuh bagi unjuran kadar dividen untuk tahun ini.

“Pendapatan daripada kedudukan pasaran ini masih tertakluk kepada pelbagai faktor dan risiko. Antaranya termasuk risiko berkaitan Selat Hormuz, yang jika berlaku gangguan atau penutupan, boleh memberi kesan kepada harga bahan api serta kadar inflasi.

“Selain itu, terdapat juga keperluan bank-bank pusat di seluruh dunia untuk menaikkan kadar faedah, yang turut mempengaruhi sentimen pasaran global.Kesemua faktor ini berpotensi mengubah sentimen pasaran yang dilihat agak rapuh, berikutan situasi di Asia Barat yang masih bergolak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan pencarum untuk terus mengamalkan pengurusan kewangan secara berhemah serta mengelakkan pengeluaran simpanan secara tidak perlu, susulan KWSP berupaya menjana pulangan melalui kesan penggandaan dalam jangka panjang.

Sebelum ini, KWSP mengumumkan pendapatan pelaburan mencatatkan peningkatan memberangsangkan sebanyak 51 peratus kepada RM27.73 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, berbanding RM18.31 bilion bagi tempoh sama pada 2025.

Jumlah itu merangkumi keuntungan dan kerugian belum direalisasi berasaskan penilaian pasaran, selaras dengan amalan tahun-tahun sebelumnya, yang turut dipengaruhi turun naik kadar pertukaran asing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.