
KUALA LUMPUR, 14 April – Menara Merdeka 118 hari ini menerima Sijil Perakuan Bomba (FC) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sekali gus mengesahkan tahap keselamatan kebakaran bangunan pencakar langit kedua tertinggi dunia itu berada pada standard tertinggi.
- Sijil Perakuan Bomba wajib di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 dan menjadi jaminan keselamatan bagi bangunan berisiko tinggi.
- Kegagalan memiliki perakuan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun.
- Pelaksanaan SPKA baharu meningkatkan kecekapan tindak balas kecemasan melalui pemantauan masa nyata terus ke pusat kawalan bomba.
- Langkah teknikal dan program latihan komuniti memperkukuh komitmen keselamatan serta menjadi penanda aras pembangunan bangunan lain.
Pengarah JBPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hassan ‘As’ari Omar berkata, perakuan tersebut merupakan syarat wajib yang ditetapkan bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 kepada semula pemilik atau pengurus premis berisiko tinggi.
“Perakuan bomba bukan sekadar syarat pentadbiran tetapi ia adalah jaminan keselamatan yang memastikan bangunan tinggi benar-benar selamat untuk didiami dan dioperasikan.
“Ia mengesahkan semua sistem keselamatan kebakaran berfungsi dengan baik serta melindungi nyawa dan harta benda,” katanya dalam majlis penyerahan Sijil Perakuan Bomba (FC) kepada Menara Merdeka 118 di sini, hari ini.
Kegagalan memiliki perakuan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun.
Menurut beliau, pelaksanaan Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA) yang baharu dikuatkuasakan turut meningkatkan kecekapan tindak balas kecemasan melalui pemantauan masa nyata yang terus disalurkan ke pusat kawalan bomba.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu langkah penting dalam meletakkan Malaysia di peta dunia.
“Pencapaian ini bukan mudah, tetapi ia membuktikan keupayaan Malaysia membangunkan bangunan ikonik dengan teknologi moden serta piawaian keselamatan bertaraf antarabangsa,” tegas beliau.
Beliau juga berkata, pemasangan SPKA di Merdeka 118 mencerminkan komitmen berterusan dalam mempertingkatkan tahap keselamatan serta menjadi penanda aras kepada pembangunan bangunan lain di negara ini.
Selain aspek teknikal, inisiatif kesedaran awam seperti latihan simulasi kebakaran dan program komuniti turut diperkukuh bagi memastikan keselamatan difahami dan diamalkan oleh semua pihak.
Dengan pengiktirafan ini, Merdeka 118 bukan sahaja menjadi simbol kemajuan negara, malah menetapkan penanda aras baharu dalam keselamatan bangunan bertaraf global.