14 menara komunikasi di Bukit Pilah terjejas akibat vandalisme dibaik pulih

Kerja-kerja pemulihan di 14 menara komunikasi di Bukit Pilah yang terjejas akibat vandalisme berjaya dipulihkan.

KUALA LUMPUR, 14 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan sebanyak 14 menara komunikasi yang terjejas akibat vandalisme di Bukit Pilah, Negeri Sembilan telah berjaya dipulihkan sepenuhnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gangguan 2G dan 4G di sekitar Kuala Pilah pada 11 April berpunca daripada vandalisme dan kecurian peralatan di sebuah menara CelcomDigi.
  • Kejadian turut menjejaskan 13 menara lain dan hampir 1,668 pengguna pelbagai syarikat telekomunikasi di kawasan terbabit.
  • Komponen penting seperti Radio Transport System dan Baseband Unit dilaporkan dicuri, menggangu operasi rangkaian di kawasan berhampiran.
  • MCMC meminta orang ramai melaporkan kegiatan mencurigakan, menegaskan tindakan undang-undang tegas di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Gangguan perkhidmatan 2G dan 4G di sekitar Kuala Pilah yang dilaporkan pada 11 April lalu dikenal pasti berpunca daripada kegiatan vandalisme serta kecurian peralatan di sebuah menara milik CelcomDigi Berhad.

Kejadian itu bukan sahaja menjejaskan menara utama, malah turut memberi kesan kepada 13 menara komunikasi lain serta hampir 1,668 pengguna daripada pelbagai syarikat telekomunikasi di kawasan berkenaan.

Hasil siasatan dan lawatan tapak MCMC bersama CelcomDigi mendapati ,beberapa komponen penting seperti Radio Transport System (RTS) dan Baseband Unit (BBU) telah dicuri, sekali gus mengganggu operasi rangkaian di kawasan berhampiran.

Kerja-kerja pemulihan telah dilaksana secara berperingkat pihak CelcomDigi, dengan kesemua menara komunikasi kini kembali beroperasi dan perkhidmatan kepada pengguna telah dipulihkan.

Sehubungan itu, orang ramai diminta bekerjasama dengan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan kepada polis atau pihak berkuasa berkaitan, khususnya di sekitar infrastruktur telekomunikasi.

MCMC menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang menjejaskan kemudahan komunikasi negara.

Perbuatan vandalisme terhadap infrastruktur telekomunikasi merupakan kesalahan serius bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.