
ARAU, 14 April – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkasa hubungan antara perspektif global dan komuniti akademik menerusi penganjuran pelbagai program ilmiah termasuk siri syarahan.
- Siri Syarahan Tuanku Syed Faizuddin Putra menjadi platform perkongsian ilmu dan menghubungkan perspektif global dengan komuniti akademik tempatan.
- Naib Canselor menegaskan siri itu menghimpunkan idea dan pandangan strategik sebagai wacana penting bagi pembangunan masa depan Perlis, negara dan rantau.
- Kehadiran Canselor SUSS dan mantan Presiden Singapura Dr Halimah Yacob mengukuhkan lagi perkongsian perspektif global di universiti.
Antaranya, Siri Syarahan Tuanku Syed Faizuddin Putra yang berperanan sebagai platform perkongsian ilmu dan pengalaman, khususnya dalam menghubungkan pandangan global dengan komuniti akademik tempatan.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, siri syarahan itu turut menjadi medan wacana yang menghimpunkan pelbagai idea dan pandangan strategik.
“Inisiatif ini mencerminkan aspirasi UniMAP sebagai universiti yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah turut menyumbang kepada perbincangan mengenai masa depan pembangunan Perlis, negara dan rantau ini,” katanya ketika berucap dalam program Siri Syarahan Tuanku Syed Faizuddin Putra di sini, hari ini.
Program itu turut diserikan kehadiran Canselor Singapore University of Social Sciences yang juga mantan Presiden Singapura, Dr Hajah Halimah Yacob, sekali gus memperkukuh perkongsian perspektif global kepada warga universiti.
Majlis berkenaan turut mendapat perkenan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Canselor UniMAP serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akasyah Khalil, selaku Pro Canselor UniMAP.