
SHAH ALAM, 14 April – Dasar Pembaharuan Tadbiran Sektor Awam dilancarkan sebagai langkah memperkukuh perkhidmatan awam secara menyeluruh dan bersepadu.
- Memperkasa kecekapan penyampaian kerajaan melalui penyederhanaan proses, pemerkasaan pendigitalan dan pengukuhan tadbir urus.
- Menjadikan inovasi sebagai keperluan kritikal; perkhidmatan awam mesti adaptif, berpandangan jauh dan bersedia menangani keperluan rakyat.
- Arahan pendigitalan operasi asas termasuk mesyuarat dan memo dalaman dengan laporan kemajuan bulanan; reformasi perlu berterusan, setiap penjawat awam agen perubahan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, dasar berkenaan akan menjadi landasan penting dalam memperkasa kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui penyederhanaan proses, pemerkasaan pendigitalan serta pengukuhan tadbir urus.
Menurutnya, inovasi dalam sektor awam kini bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan kritikal bagi memastikan perkhidmatan kerajaan kekal relevan, tangkas dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran global.
“Perkhidmatan awam dituntut untuk bergerak lebih adaptif dan berpandangan jauh, bukan sahaja responsif, tetapi juga mampu membuat persediaan awal dalam menangani keperluan rakyat.
“Setiap idea kecil yang memberi impak kepada rakyat adalah sebahagian daripada gerakan inovasi nasional,” katanya ketika berucap merasmikan Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam 2026 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Program dengan tema Inovasi MADANI Pemacu Reformasi dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan Negeri Selangor bertujuan memacu budaya inovasi dan teknologi dalam perkhidmatan awam untuk meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat.
Dalam pada itu, Tan Sri Shamsul Azri berkata, meskipun kedudukan Malaysia dalam laporan penarafan Daya Saing Global 2025 berada di tangga ke-23 daripada 69 negara, serta di kedudukan ke-34 daripada 139 negara bagi Indeks Inovasi Global, peningkatan itu tidak boleh meletakkan Malaysia dalam zon selesa, terutama dalam keadaan landskap global yang tidak menentu.
Mengulas mengenai usaha pendigitalan pula, beliau berkata semua kementerian dan jabatan kerajaan telah diarah memulakan proses pendigitalan operasi asas termasuk mesyuarat dan memo dalaman, dengan laporan kemajuan perlu dikemukakan setiap bulan.
Menurut beliau, inovasi perlu dijadikan sebagai amanah nasional manakala usaha pembaharuan mesti dilaksanakan secara berterusan.
“Setiap daripada kita adalah ejen perubahan, bermakna setiap idea dan inovasi kecil yang kita hasilkan untuk memperbaiki urusan rakyat adalah sebahagian daripada gerakan inovasi nasional yang pastinya akan memberikan impak yang positif,” katanya.