Kerajaan cadang terbit data permintaan minyak secara mingguan

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 14 April – Pemantauan penggunaan bahan api negara secara berterusan serta cadangan untuk menerbitkan data permintaan minyak setiap minggu akan dilaksanakan oleh kerajaan. Ia bertujuan menilai keberkesanan langkah penjimatan yang dilaksanakan susulan krisis tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penilaian kesan kempen penjimatan sukar dianggarkan; hanya boleh dinilai berdasarkan trend permintaan dari semasa ke semasa.
  • Cadangan mewujudkan paparan data penggunaan bahan api dikemukakan kepada KPDN bagi memastikan ketelusan maklumat.
  • Keutamaan kerajaan memastikan bekalan bahan api bertahan lebih lama melalui kawalan permintaan akibat konflik berterusan di Asia Barat.
  • Kerajaan terus melaksanakan subsidi diesel bersasar kepada pengangkutan barangan keperluan dan bas awam; perluasan tertakluk penilaian Kewangan dan KPDN.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kesan kempen penjimatan sukar dianggarkan buat masa ini kerana masih terlalu awal dan penilaian hanya dapat dibuat berdasarkan trend permintaan minyak dari semasa ke semasa.

Beliau berkata cadangan mewujudkan paparan data penggunaan bahan api telah dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bagi memastikan maklumat yang telus disalurkan kepada rakyat.

“Pengurangan hanya dapat dilihat apabila kempen ini berjalan dan laporan mingguan permintaan minyak dapat diumumkan oleh pihak KPDN,” katanya dalam sidang media mengenai Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api hari ini.

Tambahnya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan bekalan bahan api negara dapat bertahan lebih lama dengan mengawal permintaan, mengambil kira konflik berterusan di Asia Barat.

“Langkah paling praktikal adalah memastikan bekalan sedia ada bertahan lebih lama melalui kawalan penggunaan,” jelasnya.

Pada masa sama, kerajaan akan terus melaksanakan subsidi diesel secara bersasar kepada sektor tertentu seperti pengangkutan barangan keperluan dan bas awam, manakala sebarang perluasan subsidi bergantung kepada pertimbangan Kementerian Kewangan dan KPDN.