MATTA Fair 2026: Permintaan pelancongan domestik meningkat

Foto RTM

Kuala Lumpur, 5 September – Edisi ke-59 Malaysia Association of Tour and Travel Agents (MATTA) Fair menghimpunkan lebih 306 organisasi dengan 2,026 ruang pameran di 10 dewan, meliputi kawasan seluas 40,820 meter persegi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyertaan pameran cerminkan keyakinan industri, komitmen melabur, menyesuaikan perniagaan dan meneroka peluang baharu.
  • Penglibatan agensi pelancongan, hotel, taman tema dan syarikat penerbangan memperkukuh promosi destinasi tempatan dan antarabangsa.
  • Permintaan pelancongan domestik meningkat, setiap MATTA Fair merekodkan jualan sekitar RM15 juta hingga RM16 juta.
  • MATTA Fair sasar sehingga 180,000 pengunjung, disokong MoU dengan MARALINER serta bas ulang-alik dan van perubatan untuk kemudahan.

Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, penyertaan itu mencerminkan keyakinan berterusan pemain industri terhadap prospek sektor pelancongan negara, selain komitmen untuk terus melabur, menyesuaikan perniagaan dan meneroka peluang baharu.

Katanya, penyertaan pelbagai pemain industri termasuk agensi pelancongan, hotel, taman tema, syarikat penerbangan dan perniagaan berkaitan pelancongan turut memperkukuh platform berkenaan dalam mempromosikan destinasi tempatan dan antarabangsa.

“Permintaan terhadap pelancongan domestik juga terus menunjukkan perkembangan positif apabila setiap penganjuran MATTA Fair merekodkan nilai jualan antara RM15 juta hingga RM16 juta bagi segmen berkenaan.

“Ini menunjukkan rakyat Malaysia kini semakin berminat meneroka destinasi dalam negara dan melihat sendiri potensi yang ditawarkan Malaysia,” katanya ketika berucap pada perasmian MATTA Fair edisi ke-59 di ibu negara.

Menurutnya, perkembangan itu turut mendorong pemain industri meningkatkan kreativiti dan inovasi bagi memperkaya tarikan serta destinasi pelancongan tempatan.

Dalam pada itu, MATTA Fair 2026 yang berlangsung dari 4 hingga 6 September di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, menyasarkan sehingga 180,000 pengunjung.

Sebanyak 16 destinasi antarabangsa termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, India, Taiwan, Turkiye dan Uzbekistan menyertai pameran di Aras 3, manakala Aras 1 menampilkan pemain pelancongan domestik dari seluruh negara.

Turut berlangsung, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) selama tiga tahun antara MATTA dan MARA Liner Sdn. Bhd. bagi mengenal pasti serta menguji kaedah praktikal untuk meningkatkan kebolehpercayaan pengangkutan darat dalam sektor pelancongan.

Sempena MATTA Fair 2026, MARALINER turut menyediakan 12 bas ulang-alik dan sebuah van perubatan bagi memudahkan pergerakan pengunjung, termasuk golongan yang memerlukan kemudahan pengangkutan mesra akses.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.