
KUALA LUMPUR, 5 September – Seramai 308 pelajar dari Parlimen Sungai Buloh menerima Bantuan Awal Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berjumlah RM113,500 sempena Karnival PTPK Care di Dewan Meranti U20, Bandar Baru Sungai Buloh, hari ini.
- Bantuan diberikan kepada pelajar pelbagai peringkat pengajian termasuk Asasi, Matrikulasi, STPM, diploma, sijil, TVET dan sarjana muda.
- KESUMA dan PTPK komited membangunkan modal insan berkemahiran tinggi, berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
- Inisiatif latihan AI seperti MyMahir dan platform MyFutureJobs membantu tingkatkan kemahiran serta padankan pencari kerja dengan peluang sesuai.
- Karnival PTPK Care bawa perkhidmatan kerajaan dekat masyarakat termasuk kaunter informasi, pemeriksaan kesihatan, jualan Rahmah dan aktiviti komuniti.
Bantuan itu melibatkan pelajar di pelbagai peringkat pengajian termasuk Asasi, Matrikulasi, STPM, Diploma, Sijil, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sarjana Muda.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dalam membangunkan modal insan berkemahiran tinggi, berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
“Sebagai contoh, program belajar AI MyMahir oleh TalentCorp membuka 22,000 tempat kepada pelajar, graduan, pekerja, dan majikan untuk mempelajari serta meningkatkan kemahiran dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
“Selain itu, MyFutureJobs boleh membantu anak-anak muda merancang kerjaya melalui teknologi AI Job Matching yang memadankan kemahiran mereka dengan peluang pekerjaan yang sesuai. Jadi, siapkan diri sekarang, kita rebut peluang mana yang ada, daripada agensi-agensi kami dan bina masa depan kita,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politik Menteri Sumber Manusia, Aizuddin Abd Gaffal.
Sementara itu, Karnival PTPK Care menjadi platform PTPK untuk mendekati masyarakat selain memperkenalkan peranan agensi berkenaan dalam menyediakan akses pembiayaan pendidikan dan latihan kemahiran, khususnya laluan TVET.
Penganjuran kali ini turut melibatkan peserta Program Advance Leadership and Management Programme (ALMP) Siri 88 dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Pelbagai perkhidmatan dan aktiviti komuniti turut disediakan hasil kerjasama strategik dengan agensi kerajaan termasuk Kaunter Informasi PTPK, Kaunter Wang Tidak Dituntut, Jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan, kempen derma darah, aktiviti sukan dan kesenian serta pameran dan demonstrasi kebombaan.
Pendekatan turun padang itu mencerminkan komitmen KESUMA dan PTPK untuk memastikan perkhidmatan kerajaan lebih dekat, mudah diakses dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.