
KANGAR, 5 September – Perkembangan teknologi perlu dimanfaatkan bagi memastikan seni dan budaya Malaysia terus relevan dalam kehidupan generasi muda.
- Belia perlu diberi ruang mengenali, mengalami, mencipta dan mengembangkan seni serta budaya mengikut pendekatan yang dekat dengan dunia mereka.
- Memelihara dan memartabatkan seni serta budaya merupakan sebahagian penting usaha membina perpaduan negara.
- Perpaduan bukan tugas kerajaan semata; seluruh masyarakat perlu memainkan peranan menerapkan agenda perpaduan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata belia perlu diberi ruang untuk mengenali, mengalami, mencipta dan mengembangkan seni serta budaya mengikut pendekatan yang dekat dengan dunia mereka.
“Kita perlu menggunakan teknologi, media sosial dan kreativiti anak-anak muda untuk memastikan seni dan budaya Malaysia terus mempunyai tempat dalam kehidupan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Satu Suara, Seribu Warna sempena Semarak Perpaduan Perlis, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Aaron menegaskan usaha memelihara dan memartabat seni serta budaya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha membina perpaduan negara.
Pendekatan itu selaras Dasar Perpaduan Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang menekankan kepentingan membina masyarakat berjati diri, saling menghormati serta menghargai kepelbagaian yang menjadi identiti Malaysia.
“Apabila kita bercakap tentang perpaduan, kita tidak boleh memisahkan perpaduan daripada seni dan budaya kerana ia adalah sebahagian daripada identiti kita dan merupakan antara bahasa paling berkesan untuk mendekatkan masyarakat,” katanya.
Pada masa sama, Datuk Aaron berkata kerajaan tidak boleh bergerak bersendirian kerana perpaduan merupakan tanggungjawab bersama.
Sehubungan itu, seluruh masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalam menterjemahkan agenda perpaduan negara.