
KUALA NERUS, 5 September – Lebih 160 kilogram sampah berjaya dikutip di sekitar Pantai Tanjung Gelam menerusi program Citizen Science: Pemantauan dan Pembersihan Plastik Marin Kebangsaan 2026 anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
- Program kolaborasi UMT bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta persatuan Geng Plastik Ija.
- Tumpuan kepada pengumpulan dan pengasingan sisa marin termasuk plastik, pembungkusan dan peralatan perikanan.
- Lebih 100 peserta termasuk pelajar, sukarelawan, agensi dan komuniti diberi pendedahan tentang pengurusan sisa dan pengurangan plastik.
- Program akan diperluas ke pantai pendaratan penyu untuk memulihkan habitat dan menarik kembali penyu belimbing ke Pantai Rantau Abang.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Profesor Dr. Muhammad Ikhwanuddin Abdullah berkata program berkenaan merupakan kolaborasi UMT bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta persatuan ‘Geng Plastik Ija’.
Tumpuan diberi kepada pengumpulan dan pengasingan sisa marin termasuk plastik, bahan pembungkusan serta peralatan perikanan yang berpotensi menjejaskan ekosistem pantai.
“Ini merupakan permulaan, tapi sebenarnya sebelum ini memang tiap-tiap tahun Kumpulan Penyelidik Mikroplastik ini telah ada program yang serupa di beberapa pantai di sekitar Terengganu.
“Ini merupakan program pertama kita dan insya-Allah, kita akan giatkan lagi ke kawasan lain di sepanjang pantai di Terengganu,” katanya ketika ditemui RTM pada majlis penutupan program berkenaan, di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lebih 100 peserta terdiri daripada pelajar, sukarelawan, agensi dan komuniti setempat terlibat menjayakan program berkenaan.
Selain aktiviti pembersihan, mereka turut diberi pendedahan mengenai pengelasan sisa marin, kepentingan mengurangkan penggunaan plastik serta peranan masyarakat dalam melindungi kawasan pesisir.
Pantai Tanjung Gelam dipilih kerana kepentingannya sebagai kawasan rekreasi dan ekosistem pesisir yang memerlukan pemantauan serta penjagaan secara berterusan.
Dalam pada itu, Profesor Dr. Muhammad Ikhwanuddin berkata program berkenaan akan diperluas ke kawasan pantai yang dikenal pasti sebagai lokasi pendaratan penyu untuk bertelur.
“Alhamdulillah, saya rasa dengan usaha yang kita buat ini, insya-Allah kita mungkin akan beri tumpuan di sana untuk memastikan penyu belimbing yang sekian lama tak balik ke Terengganu akan balik ke Pantai Rantau Abang,” katanya.
Sementara itu, NRES memaklumkan sebanyak 230 juta tan metrik sisa plastik dijangka mencemari daratan, sungai dan laut dunia menjelang 2040.
Daripada jumlah itu, sebanyak 23 juta tan sisa plastik dianggarkan terlepas ke perairan setiap tahun, sekali gus mengancam ekosistem marin.
Di peringkat Malaysia, NRES merangka pelbagai langkah dan inisiatif bagi memperkasakan pengurusan sisa marin, termasuk membangunkan kaedah pemantauan seragam di seluruh negara menerusi pelaksanaan program pembersihan pantai.