
KUALA LUMPUR, 5 September – 191 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan terhadap individu yang dikesan membuang sampah kecil di tempat awam sepanjang pelaksanaan Op Bangkit sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026.
- 191 Notis Pemberitahuan Kesalahan dikeluarkan terhadap individu membuang sampah kecil semasa Op Bangkit.
- Operasi Op Bangkit dilaksana KPKT melalui SWCorp selama lapan hari bermula 24 hingga 31 Ogos.
- Seramai 234 anggota penguat kuasa dikerahkan di 56 lokasi melibatkan tujuh negeri di bawah Akta 672.
- NPK Seksyen 77A memulakan siasatan dan pendakwaan; sabit boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 dan PKM 12 jam.
Operasi bersepadu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilaksana menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp)selama lapan hari bermula 24 hingga 31 Ogos lepas.
Menerusi kenyataan KPKT memaklumkan, sepanjang tempoh pelaksanaan, seramai 234 anggota penguat kuasa SWCorp digerakkan di 56 lokasi melibatkan tujuh negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Menterinya Nga Kor Ming berkata tindakan penguatkuasaan itu bukan hukuman semata-mata, sebaliknya bertujuan mendidik masyarakat untuk lebih bertanggungjawab dengan kebersihan ruang awam.
“Pengeluaran NPK di bawah Seksyen 77A Akta 672 bukan sekadar peringatan, sebaliknya merupakan permulaan kepada proses tindakan undang-undang terhadap individu yang melakukan kesalahan berkenaan.
“Setiap kes akan disiasat SWCorp sebelum kertas siasatan lengkap dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan izin pendakwaan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 dan sebagai hukuman tambahan perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga 12 jam,”katanya menerusi kenyataan itu.
KPKT dalam pada itu turut memberitahu tahap kebersihan di lokasi Sambutan Ambang Hari Kebangsaan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2026 berada pada tahap baik, hasil pemantauan serta kerjasama orang ramai.
Sehubungan itu, kementerian mengharapkan amalan menjaga kebersihan menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat dan identiti nasional.