RPTM lahirkan mahasiswa kompeten, berjiwa manusia

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada sesi Sembang Santai Bersama Doc Zam bersempena Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0

TANJONG MALIM, 5 September – Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 memberi penekanan kepada pembangunan mahasiswa yang bukan sahaja kompeten dalam bidang akademik, malah memiliki nilai kemanusiaan dan karakter yang baik.

RINGKASAN BERITA AI
  • RPTM 2026-2035 menekankan pendidikan berteraskan kemanusiaan, menyepadukan kecemerlangan akademik dengan pembentukan sahsiah dan nilai diri.
  • Sistem pendidikan tinggi perlu disesuaikan dengan teknologi pesat seperti AI bagi mempersiapkan mahasiswa menghadapi pasaran kerja yang berubah.
  • RPTM menyediakan pendidikan lebih fleksibel, membolehkan pembelajaran semula selepas bekerja dan pengiktirafan pengalaman melalui APEL.
  • Karnival Siswa Perak Sejahtera mengeratkan jaringan, keyakinan dan semangat perpaduan untuk melahirkan pemimpin masa depan yang berdaya saing.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan graduan berpengetahuan dan berkemahiran, bahkan membentuk individu yang lebih baik serta mampu berdepan perubahan dunia dan cabaran pasaran pekerjaan.

“Matlamat pendidikan ialah untuk menjadikan diri kita orang yang lebih baik. Kalau kita belajar tetapi karakter dan perangai kita menjadi lebih teruk, itu bukan matlamat pendidikan,” katanya pada sesi Sembang Santai Bersama Doc Zam bersempena Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini.

Menurut beliau, pendekatan berteraskan kemanusiaan atau ‘humanity-centric’ penting bagi memastikan kecemerlangan akademik mahasiswa berjalan seiring dengan pembentukan sahsiah dan nilai diri.

Perkembangan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), model bahasa besar dan teknologi pengkomputeran turut menuntut sistem pendidikan tinggi menyediakan mahasiswa bagi menghadapi dunia pekerjaan yang semakin berubah.

“Cabaran adik-adik hari ini lebih dahsyat daripada zaman kami. Sebab itu kita perlu membuat perubahan dalam sistem pendidikan tinggi supaya adik-adik dapat mempersiapkan diri untuk berhadapan dengannya,” katanya.

Beliau berkata, RPTM yang dirangka untuk tempoh 10 tahun akan datang turut menyediakan ruang pendidikan yang lebih fleksibel, termasuk membolehkan individu kembali melanjutkan pengajian selepas memasuki alam pekerjaan serta memanfaatkan laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (APEL).

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersama mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Menyentuh mengenai Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0, Datuk Seri Dr Zambry berkata, program yang menghimpunkan 807 peserta daripada pelbagai institusi pengajian dan tingkatan enam itu menjadi platform penting untuk membina jaringan, keyakinan serta semangat kebersamaan dalam kalangan anak Perak.

Katanya, kepelbagaian latar belakang peserta daripada pelbagai daerah dan kaum mencerminkan semangat perpaduan yang perlu terus diperkukuh bagi memastikan Perak mempunyai generasi pemimpin masa depan yang berdaya saing.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, program berkenaan memberi ruang kepada siswa Perak untuk berkongsi pengalaman serta mendapatkan inspirasi daripada tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kepimpinan dan pendidikan tinggi.

“Pertemuan seperti ini penting dalam membentuk generasi muda yang mampu menjadi pemimpin pada masa hadapan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.