Masjid Zaid bin Thabit terima peruntukan RM100,000

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak memperuntukkan RM100,000 bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan Masjid Zaid bin Thabit, Desa Tun Razak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerja penyelenggaraan masjid dijalankan untuk memastikan kemudahan lebih selesa kepada penduduk setempat.
  • Beliau menyeru masyarakat bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes.
  • Bekas sampah terbuka, pasu bunga dan tanaman seperti pokok nanas berisiko menakung air.
  • Kes denggi Wilayah Persekutuan KL meningkat 65% sehingga 6 Jun 2026, 5,632 kes, tiga kematian, 196 wabak aktif.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sumbangan itu disalurkan bagi memastikan kemudahan masjid dapat digunakan dengan lebih selesa oleh penduduk setempat.

“Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak telah memperuntukkan RM100,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan Masjid Zaid bin Thabit Desa Tun Razak ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Gotong-Royong Cegah Denggi di PPR Desa Tun Razak, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha menjaga kebersihan persekitaran perlu menjadi tanggungjawab bersama masyarakat dalam mencegah pembiakan nyamuk Aedes.

Menurutnya, masyarakat perlu lebih peka terhadap perkara kecil di sekitar kediaman yang berpotensi menjadi tempat takungan air.

“Anak-anak muda tengok dan jaga persekitaran ini adalah penting untuk semua. Kita bukan saja (terdedah), tetapi yang lain semua pun boleh terkena. Ini adalah salah satu daripada khidmat masyarakat, amal jariah yang kita buat,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman apabila mendapati kawasan tanaman, termasuk pokok nanas, berpotensi menakung air dan menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Katanya, bekas sampah yang tidak ditutup dengan sempurna serta bekas tanaman dan pasu bunga yang mengandungi air bertakung juga perlu diberi perhatian.

Beliau berkata, pencegahan denggi tidak seharusnya hanya bergantung kepada aktiviti pengasapan atau tindakan pihak berkuasa, sebaliknya masyarakat perlu memastikan persekitaran kediaman sentiasa bersih dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk.

Program Gotong-Royong Cegah Denggi PPR Desa Tun Razak turut melibatkan penduduk, sukarelawan, agensi kerajaan serta rakan strategik komuniti.

Tambah beliau, kes denggi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga 6 Jun 2026 merekodkan 5,632 kes, meningkat 65 peratus berbanding 3,419 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Tiga kematian akibat demam denggi turut dilaporkan, manakala 196 wabak denggi masih aktif di seluruh Wilayah Persekutuan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.