Mansuh AUKU: Mahasiswa mahu kebebasan bersuara seiring tanggungjawab

Gambar mahasiswa Universiti Malaya/Foto UM

JOHOR BAHRU, 22 Ogos – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disambut baik mahasiswa yang melihat langkah itu memberi lebih ruang untuk mereka menyuarakan pandangan serta terlibat dalam aktiviti kampus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemansuhan AUKU memberi kebebasan lebih kepada mahasiswa untuk menyuarakan pendapat dan aktif dalam hal kampus.
  • Autonomi badan pelajar meningkat namun mahasiswa mesti mematuhi peraturan universiti agar kebebasan tidak disalahgunakan.
  • Suara mahasiswa dan masyarakat boleh menjadi maklum balas konstruktif kepada universiti dan kerajaan bagi dasar pendidikan tinggi lebih relevan.

Tinjauan RTM di sekitar bandaraya ini mendapati mahasiswa berpandangan pemansuhan akta berkenaan dapat memberi lebih kebebasan kepada mereka untuk menyuarakan pendapat, selain memainkan peranan lebih aktif dalam hal berkaitan pendidikan tinggi.

Mahasiswa UTHM Batu Pahat, M. Dathshan berkata, pemansuhan AUKU memberi ruang kepada mahasiswa untuk bergerak dengan lebih bebas dalam perkara yang berkaitan kepentingan mereka.

“Pemansuhan AUKU ini membolehkan mahasiswa lebih bebas menyuarakan pendapat dan bergerak dalam perkara yang mahasiswa mahukan.

“Pada masa sama, kelab seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mendapat lebih autonomi untuk bergerak secara bertanggungjawab.

“Namun, mahasiswa perlu mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan universiti supaya kebebasan yang diberikan tidak disalahgunakan,” katanya.

Sementara itu, Mahasiswi Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Nur Aleeya Sofia Mohd Razman berkata, pemansuhan AUKU membolehkan mahasiswa menyuarakan pandangan mengenai isu dan masalah yang berlaku dalam kampus tanpa berasa terlalu dikawal.

“Pada pendapat saya, kebaikan pemansuhan AUKU ialah mahasiswa lebih bebas menyuarakan pendapat mengenai perkara yang berlaku dalam kampus dan masalah yang mereka hadapi.

“Ini membolehkan mereka bersuara tanpa rasa takut atau terlalu dikawal oleh peraturan universiti,” katanya.

Bagi Mahasiswi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Nur Arina Haznul pula, pandangan mahasiswa dan masyarakat boleh menjadi maklum balas kepada kerajaan serta pihak universiti dalam membentuk dasar pendidikan tinggi yang lebih sesuai dengan keperluan generasi muda.

“Pada pendapat saya, pandangan masyarakat boleh menjadi satu bentuk maklum balas kepada pihak universiti dan kerajaan dalam membentuk sebuah dasar yang lebih sesuai dengan keperluan generasi muda zaman sekarang,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.