Sambutan Hari RTM ke-80, Bulan Kebangsaan 2026 di Terengganu meriah

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 22 Ogos- Sambutan Hari Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-80 dan Bulan Kebangsaan 2026 peringkat Negeri Terengganu berlangsung meriah dengan penglibatan komuniti menerusi pelbagai aktiviti termasuk pertandingan mewarna batik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penganjur menekankan usaha mengekalkan warisan batik serta menyemai semangat patriotik di kalangan masyarakat.
  • Penghasilan kit batik dijadikan simbolik warisan untuk diperkenalkan dan diteruskan kepada generasi muda.
  • Peserta memuji penganjuran acara, manakala suasana kebangsaan nyata dengan banyak Jalur Gemilang dipasang.

Program yang melibatkan 80 kanak-kanak itu turut mengetengahkan seni dan warisan tempatan, selain menjadi platform untuk mendekatkan masyarakat dengan RTM.

Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu, Noriza Salleh berkata penganjuran program berkenaan bukan sahaja bertujuan mengekalkan warisan seni batik, malah menyemarakkan semangat patriotik sempena Bulan Kebangsaan.

“Hari ini TerengganuFM melaksanakan dua program serentak, iaitu Sambutan Hari RTM ke-80 dan Bulan Kebangsaan 2026 dengan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan mewarna bagi mendekatkan masyarakat dengan RTM, selain menghasilkan kit batik sebagai simbolik sambutan Hari RTM ke-80,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan NACC Batik Pavilion, Chendering, di sini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Muhd Nor Aswadi Md Nor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi NACC Batik Pavilion, Ismanisa Itam@Ismail berkata seni batik sebagai warisan tradisional Malaysia perlu terus dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi muda sejak kecil.

“Batik adalah warisan tradisional Malaysia dan kita mahu anak-anak mengenali serta mencintai seni batik sejak kecil. Penghasilan kit batik ini menjadi simbolik kepada warisan yang perlu diteruskan oleh generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, peserta mewarna batik, Muhd Helmi Baharom berkata program berkenaan berlangsung meriah dan mampu menyemarakkan suasana sambutan Bulan Kebangsaan di Terengganu.

“Program ini sangat meriah dan saya berterima kasih kepada RTM kerana menjayakan acara yang julung kali diadakan.

“Suasana sambutan Bulan Kebangsaan di Terengganu juga meriah dengan banyak rumah dan kenderaan mengibarkan serta memasang simbol Jalur Gemilang,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.