
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa menyertai aktiviti mewarna batik sebelum berangkat ke Istana Nurul Iman di sini hari ini bagi menghadiri istiadat pengurniaan darjah kebesaran Brunei.
- Aktiviti PERWAKILAN memupuk penghargaan dan pemeliharaan seni serta warisan batik tempatan.
- Dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama (D.K.) oleh Sultan Hassanal Bolkiah, membawa gelaran Dato Laila Utama.
- Istiadat berlangsung di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman, disaksikan Pengiran Muda Mahkota dan dihadiri pemimpin serta menteri.
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata aktiviti dianjurkan Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN) di Brunei itu memberi ruang buat beliau dan isteri untuk menghayati dan menghargai keindahan seni serta warisan batik tempatan.
“Aktiviti seperti ini memberi ruang untuk kita menghayati dan menghargai keindahan seni serta warisan batik tempatan, sekali gus memastikan khazanah ini terus subur merentas generasi,” kata beliau.
Pada istiadat berkenaan, Perdana Menteri dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K.) oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Anugerah itu membawa gelaran Dato Laila Utama.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu berlangsung pada majlis menghadap di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman, yang turut disaksikan Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah.
Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.