
ISTANBUL, 8 Januari- Malaysia dan Turkiye sepakat memperkukuh kerjasama dalam industri strategik dengan memanfaatkan kelebihan masing-masing dalam sektor pertahanan, tenaga, pembinaan dan teknologi tinggi, selaras keperluan ekonomi masa depan kedua-dua negara.
- Perkukuhan kerjasama industri strategik antara Malaysia dan Turkiye dalam pertahanan, tenaga, pembinaan dan teknologi tinggi.
- Gabungan kekuatan Turkiye dalam pembinaan, nuklear dan dron dengan kepakaran Malaysia dalam LNG, E&E, semikonduktor dan AI.
- Peluang dalam pembangunan teknologi baharu, pemindahan kepakaran dan peluasan pasaran serantau dibincangkan bersama pemimpin industri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Turkiye memiliki kelebihan kukuh dalam industri pertahanan, pembinaan dan pembuatan berteknologi tinggi termasuk dron yang diiktiraf antara yang termaju di rantau ini.
“Anda (Turkiye) Turkiye mempunyai kekuatan dalam industri nuklear, pembinaan dan pembuatan berteknologi tinggi termasuk dron.
“(Manakala) Malaysia mempunyai kekuatan dalam eksport tenaga seperti Gas Asli Cecair (LNG) serta teknologi baharu termasuk elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
“Sinergi kekuatan ini membolehkan kedua-dua negara membina kerjasama strategik yang saling melengkapi,” kata beliau menerusi ucapan pembukaan pada mesyuarat meja bulat bersama ketua-ketua industri di sini, hari ini.
Sesi kira-kira 30 minit itu turut dihadiri tujuh wakil syarikat Malaysia dan menekankan peluang dalam pembangunan teknologi baharu, pemindahan kepakaran dan peluasan pasaran serantau.