
KOTA KINABALU, 12 MEI – Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan RM2.43 bilion bagi memperkukuh jaringan infrastruktur Jalan Persekutuan di Sabah sepanjang tahun 2026.
- Peruntukan meliputi 14 projek jalan bernilai RM1.845 bilion dan RM34.5 juta untuk kerja awalan.
- Penyelenggaraan Jalan Persekutuan meningkat kepada RM512.17 juta; kerja pembaikan kecil naik 300 peratus kepada RM200 juta.
- Ketua pegawai kanan akan buat lawatan tapak bulanan dan kerjasama KKR, JKR Sabah dan CIDB pastikan pengagihan kontrak telus.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan peruntukan di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu merangkumi pelaksanaan 14 projek jalan raya bernilai RM1.845 bilion serta RM34.5 juta bagi kerja awalan.
Pelaburan besar ini turut menyentuh aspek keselamatan cerun dan jambatan dengan peruntukan RM42.1 juta.
Selain itu, program penyelenggaraan Jalan Persekutuan merekodkan lonjakan RM512.17 juta, peningkatan 31.29 peratus berbanding tahun lepas,hasil maklum balas rakyat mengenai kualiti jalan raya di negeri itu.
Menariknya, peruntukan kerja pembaikan kecil namun kritikal di Sabah dan Sarawak dinaikkan mendadak sebanyak 300 peratus, iaitu daripada RM50 juta kepada RM200 juta.
Bagi menjamin kualiti dan mengelakkan isu projek terbengkalai, pasukan pegawai kanan kementerian termasuk Ketua Setiausaha KKR akan melakukan lawatan tapak secara berkala setiap bulan.
Datuk Seri Alexander turut menegaskan perbezaan tanggungjawab penyelenggaraan, di mana KKR memfokuskan sepenuhnya kepada Jalan Persekutuan manakala jalan negeri kekal di bawah seliaan kerajaan negeri melalui dana MARIS.
Kerjasama strategik antara KKR, JKR Sabah, dan CIDB diperkukuh melalui Jawatankuasa Pemandu dan sesi libat urus berterusan bagi memastikan pengagihan kontrak kepada kontraktor tempatan dilakukan secara telus mengikut spesifikasi ditetapkan.