Kerajaan laksana intervensi awal tampan kesan krisis bekalan global

Muhammad Kamil Abdul Munim ditemui selepas program Bicara Naratif di Angkasapuri / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 12 MEI – Kerajaan komited untuk terus melaksanakan langkah intervensi awal bagi memastikan golongan berpendapatan rendah serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tidak terbeban dengan tekanan kos sara hidup kesan krisis bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan mingguan melalui MTEN untuk merangka pelan tindak balas segera dan memastikan inisiatif sampai kepada kumpulan sasar.
  • Pengurusan kewangan cekap serta tadbir urus berintegriti mengekalkan daya tahan ekonomi berbanding negara jiran.
  • Kerajaan menaikkan subsidi kos pembajakan bagi manfaat kira-kira 240,000 pesawah berdaftar dan mengurangkan sewa premis agensi.
  • Kerajaan menanggung subsidi minyak meningkat hingga RM5 bilion sebulan bagi melindungi pengguna dan mengelakkan inflasi, sambil optimis terhadap pertumbuhan 2026.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pemantauan rapi dilakukan secara konsisten menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi merangka pelan tindak balas segera.

Menurut beliau, pengurusan kewangan yang cekap dan tadbir urus berintegriti membolehkan Malaysia mengekalkan daya tahan ekonomi yang lebih stabil berbanding negara jiran, meskipun berdepan lonjakan harga komoditi dan ketidaktentuan pasaran antarabangsa.

“Kerajaan memantau keadaan semasa setiap minggu bagi memastikan inisiatif intervensi sampai kepada kumpulan sasar. Nasib rakyat berpendapatan kecil dan pemain industri kecil sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap keputusan dasar,” katanya ketika ditemui selepas program Bicara Naratif di Angkasapuri.

Mengulas mengenai inisiatif sedia ada, Muhammad Kamil mendedahkan kerajaan telah menaikkan subsidi kos pembajakan yang memberi manfaat kepada kira-kira 240,000 pesawah berdaftar di seluruh negara.

Selain itu, kadar sewaan premis di bawah seliaan agensi kerajaan turut dikurangkan bagi meringankan beban aliran tunai peniaga kecil.

Menyentuh mengenai isu bahan api, beliau menjelaskan bahawa kerajaan kini menanggung subsidi minyak yang melonjak sehingga RM5 bilion sebulan, berbanding hanya RM700 juta sebelum ini.

“Langkah ini adalah satu bentuk ‘penampan’ bagi memastikan kenaikan harga minyak dunia tidak disalurkan terus kepada rakyat, sekali gus mengelakkan inflasi mendadak dalam rantaian bekalan domestik,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau optimis terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun 2026 yang disokong oleh pengukuhan nilai Ringgit serta kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang mencatatkan prestasi positif bagi suku pertama tahun ini.