Peranti eBraille memudahkan OKU penglihatan akses al-Quran

Guru-guru al-Quran OKU penglihatan menerima eBraille pada Majlis Penyerahan eBraille di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini/foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Januari – Sebanyak 10 set peranti eBraille, hasil inovasi anak tempatan, diserahkan kepada guru-guru al-Quran dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan bagi memperkasa pendidikan al-Quran agar kekal relevan dan lebih berdaya saing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peranti eBraille meringankan beban pengajaran dengan pelbagai fungsi, memudahkan kaedah pengajaran dan pembelajaran al-Quran bagi OKU penglihatan.
  • Peranti ringkas kurang 1kg menggantikan al-Quran Braille bercetak berat 10kg, menjadikan akses dan pengangkutan lebih mudah.
  • Penempatan di masjid utama dan peruntukan RM90,000 menyokong pengembangan penggunaan teknologi untuk komuniti OKU penglihatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata peranti eBraille yang dilengkapi pelbagai fungsi itu membantu meringankan beban para guru serta memudahkan kaedah pengajaran dan pembelajaran.

Menurut beliau, sebelum ini guru dan pelajar OKU penglihatan menggunakan al-Quran Braille bercetak yang mencecah 10 kilogram (kg) bagi enam jilid, namun kini peranti eBraille yang digunakan hanya seberat kurang 1kg.

“Sebelum ini mereka menggunakan al-Quran Braille seberat 10kg dengan enam jilid, tetapi kali ini mereka hanya menggunakan peranti eBraille yang beratnya tidak sampai 1kg. Peranti ini membolehkan mereka mengajar anak-anak kita al-Quran dengan lebih baik, malah membantu guru-guru dan pengguna mendapatkan akses yang lebih luas kepada ilmu dan pengetahuan, termasuk al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan eBraille Kepada Guru-guru Al-Quran OKU Penglihatan, di sini.

Tambah Dr Zulkifli, peranti berkenaan juga akan ditempatkan di Masjid Besi atau Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan Masjid Jamek Kuala Lumpur bagi memperluas penggunaannya dalam kalangan komuniti OKU penglihatan yang lain.

Inisiatif itu melibatkan peruntukan sebanyak RM90,000 daripada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang bertujuan menggalakkan penggunaan teknologi terkini dalam menyantuni rakyat.

Langkah itu selaras dengan Pelan Tindakan Agensi Agama Bagi OKU Muslim 2024-2028 yang menekankan aspek pendidikan serta hak OKU dalam menunaikan ibadah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.