
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Negeri Sembilan secara rasmi muncul juara Liga Hoki Wanita Malaysia 2026, sekali gus menyaksikan trofi kejuaraan kedua pasukan berkenaan bagi musim ini.
- Menewaskan Terengganu 6-0 pada aksi terakhir di Stadium Hoki Batu Buruk.
- Mengumpul 18 mata; kekal tanpa kalah dan tanpa bolos, dengan 50 gol dijaringkan.
- Menteri Besar memuji pasukan dan berharap momentum diteruskan menjelang separuh akhir menentang Terengganu di Bukit Jalil.
Kejuaraan itu hadir selepas menumpaskan Terengganu 6-0 pada aksi terakhir liga yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, Terengganu pada Selasa.
Kemenangan itu menyaksikan pasukan Negeri Sembilan mengumpul 18 mata selepas enam perlawanan, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dan tanpa bolos dengan menjaringkan 50 gol sepanjang saingan liga.

Kejayaan berkenaan turut mendapat pujian dan ucapan tahniah daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Tahniah kepada pasukan hoki wanita Negeri Sembilan atas kemenangan bergaya 6-0 menentang Terengganu di Stadium Batu Buruk, sekali gus muncul sebagai Juara Liga Wanita TNBMHL 2026.
“Kejayaan ini merupakan trofi kedua buat pasukan dan pastinya hasil kerja keras, disiplin serta semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh para pemain sepanjang musim ini.
“Syabas juga diucapkan kepada barisan jurulatih, pegawai pasukan, ibu bapa serta penyokong yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada pasukan hoki Negeri Sembilan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Beliau berharap, momentum kemenangan dapat diteruskan menjelang aksi separuh akhir menentang Terengganu sekali lagi pada 14 Mei ini di Bukit Jalil.
Mengiringi Negeri Sembilan ke separuh akhir Piala Vivian May Soars ialah Malaysian University-Uniten, Territory Stingers dan Terengganu.