Pelarasan jentera jadi taruhan Hakim Danish di Catalunya

Hakim Danish ketika perlumbaan di Le Mans – Foto FB Hakim Danish

BARCELONA, 12 MEI – Pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, meletakkan keutamaan terhadap pelarasan (setup) jentera yang lebih mantap sebagai kunci utama untuk memburu keputusan podium pada Grand Prix (GP) Catalunya, hujung minggu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gagal peroleh setup optimum dalam litar basah di Le Mans, menyebabkan beliau hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-10.
  • Jurang masa dalam Moto3 sangat kecil; kesilapan pemilihan setup boleh membezakan podium dan kelompok tengah.
  • Litar Catalunya menuntut teknikaliti tinggi, terutamanya kestabilan jentera di selekoh berkelajuan tinggi.
  • Pernah raih podium di RBRC musim lalu, namun persaingan Moto3 kini jauh lebih sengit; kedudukan semasa ke-15.

Kegagalan mendapatkan pelarasan optimum dalam keadaan litar basah di Le Mans minggu lalu memaksa pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10, meskipun mempamerkan kepantasan luar biasa seawal sesi latihan bebas.

“Fokus utama saya di Barcelona adalah mencari keseimbangan jentera yang terbaik seawal sesi latihan bebas pertama (PR1). Di Moto3, jurang masa antara pelumba sangat kecil, jadi kesilapan kecil dalam pemilihan setup boleh membezakan kedudukan podium atau kelompok tengah,” jelas beliau.

Mengulas mengenai cabaran di Litar Barcelona-Catalunya, Hakim Danish mengakui litar tersebut menuntut teknikaliti tinggi, terutamanya dalam aspek kestabilan jentera di selekoh berkelajuan tinggi, satu kelemahan yang dikesan ketika beliau bersaing di GP Sepanyol di Jerez, April lalu.

Meskipun pernah meraih podium di litar sama ketika kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBRC) musim lalu, pelumba berusia 18 tahun itu sedar tahap persaingan kali ini jauh berbeza.

“Litar Catalunya sangat mencabar fizikal dan jentera. Pengalaman lalu membantu dari segi pemahaman litar, namun fokus kini adalah memastikan jentera KTM saya mampu bersaing secara kompetitif dengan kelompok hadapan yang sangat agresif,” tambahnya lagi.

Hakim Danish kini berada di tangga ke-15 carta kejuaraan dunia dengan 18 mata selepas mengharungi lima pusingan perlumbaan.