Hansi Flick lanjut kontrak bersama Barcelona hingga 2028

Hansi Flick menandatangani kontrak baharu selaku ketua jurulatih Barcelona. Foto AFP

BARCELONA, 12 Mei – Ketua jurulatih FC Barcelona, Hansi Flick mengesahkan telah menandatangani kontrak baharu selama dua tahun bersama kelab itu dengan pilihan lanjutan semusim lagi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Flick dan Barcelona akan terus bekerjasama sehingga 2028 sebelum membuat keputusan lanjut mengenai masa depannya.
  • Flick menghadiahkan gelaran La Liga kedua berturut-turut selepas menewaskan Real Madrid 2-0.
  • Dalam dua musim, beliau memenangi dua La Liga, satu Copa del Rey serta dua Piala Super Sepanyol.
  • Belum berjaya menangi Liga Juara Eropah bersama Barcelona; kontrak baharu menekankan komitmen untuk memenangi lebih banyak kejuaraan.

Jurulatih dari Jerman berusia 61 tahun itu berjaya menghadiahkan gelaran La Liga kedua berturut-turut buat Barcelona selepas menewaskan seteru utama, Real Madrid 2-0 pada Ahad lalu.

“Sudah tentu saya sangat gembira. Ia memberi keyakinan untuk saya terus bekerja satu atau dua tahun lagi.

“Ramai jurulatih mungkin mahu kontrak tiga, empat atau lima tahun, namun bagi saya bersama Barcelona, kontrak yang lebih terhad adalah baik dan saya menghargainya,” katanya dalam sidang media menjelang aksi menentang Deportivo Alavés.

Menurut Flick, kedua-dua pihak akan terus bekerjasama sehingga 2028 sebelum membuat keputusan lanjut mengenai masa depannya bersama kelab itu.

Sepanjang dua musim bersama Barcelona, Hansi Flick berjaya memenangi dua gelaran La Liga, satu Copa del Rey serta dua Piala Super Sepanyol. – Foto AFP

Flick menyertai Barcelona pada musim panas 2024 dan sepanjang dua musim bersama kelab Catalan itu, beliau berjaya memenangi dua gelaran La Liga, satu Copa del Rey serta dua Piala Super Sepanyol.

Bagaimanapun, trofi Liga Juara Eropah yang pernah dimenanginya bersama Bayern Munich pada 2020 masih gagal diraih bersama Barcelona.

Musim ini, Barcelona tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada Atlético Madrid, manakala musim lalu mereka kecundang 7-6 secara agregat kepada Inter Milan di separuh akhir.

Flick berkata, kontrak baharu itu turut membawa komitmen untuk terus bekerja lebih keras demi membawa Barcelona mencapai tahap tertinggi serta memenangi lebih banyak kejuaraan termasuk Liga Juara Eropah. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.