
MARAN, 12 Mei – Klinik Kesihatan (KK) Maran akan dinaik taraf daripada Klinik Kesihatan Jenis Empat kepada Klinik Kesihatan Jenis Tiga yang menyediakan perkhidmatan kecemasan 24 jam bagi memenuhi keperluan penduduk daerah itu.
- Klinik dilengkapi enam katil di Ruang Pemerhatian dan Pusat Bersalin Kecemasan ditambah baik.
- Memperkukuh peranan klinik sebagai tunjang penjagaan kesihatan primer melalui penambahbaikan perkhidmatan dan kemudahan.
- Projek Hospital Maran bernilai RM350 juta ditangguhkan selepas tinjauan penggunaan fasiliti sedia ada menilai keperluan sebenar.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata klinik tersebut turut dilengkapi enam katil wad pesakit di Ruang Pemerhatian serta perkhidmatan Pusat Bersalin Kecemasan (EBC).
Beliau berkata langkah itu diambil bagi memperkukuh peranan klinik kesihatan sebagai tunjang kepada sistem penjagaan kesihatan primer.
“Bermula daripada Klinik Kesihatan Maran Type 4, saya telah menekankan komitmen untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan, khususnya perkhidmatan kecemasan 24 jam, kemudahan katil pesakit sebanyak enam buah (tiga untuk lelaki dan tiga untuk wanita), serta penambahbaikan Emergency Birthing Center (EBC).
“Ketiga-tiga perkhidmatan ini akan diperkasakan secara menyeluruh supaya dapat berfungsi dengan lebih efektif. Walaupun statusnya bukan hospital, namun peranannya adalah setara dari segi fungsi dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan oleh penduduk di Maran,” kata beliau selepas sesi lawatan ke Klinik Kesihatan Maran di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata projek pembinaan Hospital Maran yang dianggarkan bernilai RM350 juta tidak akan diteruskan buat masa ini, selepas pihaknya menilai keadaan semasa serta penggunaan fasiliti kesihatan sedia ada.
Keputusan itu dibuat hasil daripada tinjauan berkaitan keperluan sebenar perkhidmatan kesihatan di Maran.
“Daripada sudut penggunaan, ia masih belum sampai ke tahap mendesak untuk kita bangunkan sebuah hospital baharu,” katanya sambil menambah daerah itu kini mempunyai 35 klinik desa dan 10 klinik kesihatan.
“Maran sudah mempunyai Hospital Jengka yang merekodkan kadar penggunaan katil atau bed occupancy rate (BOR) sekitar 57 peratus, manakala Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pula mencatatkan BOR 63 peratus,” katanya.