Pangkalan rahsia Israel: Tentera Iraq jalankan operasi pembersihan

Laporan bahawa tentera Israel tubuhkan “pos tentera rahsia” di Najaf

BAGHDAD, 12 Mei – Pasukan tentera Iraq dikenali sebagai Popular Mobilisation Forces (PMF) yang pro-Iran telah melancarkan “operasi pembersihan dan pencarian” di padang pasir selatan susulan laporan mengenai pangkalan Israel di negara itu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • The Wall Street Journal melaporkan Israel menubuhkan pos tentera rahsia di Najaf untuk sokong operasi udara terhadap Iran, hampir ditemui awal Mac.
  • Pihak berkuasa Iraq menafikan kewujudan pangkalan atau tentera asing yang tidak dibenarkan di wilayah mereka.
  • Tentera Iraq bertempur Mac dengan kumpulan tidak dikenali disokong pesawat; seorang anggota maut, dua cedera, unit berundur dengan perlindungan udara.

Menurut pasukan itu pada Selasa, operasi yang digelar “Imposing Sovereignty” itu bermula di padang pasir Najaf dan Karbala, lapor agensi berita negara Iraq INA.

Langkah itu susulan laporan The Wall Street Journal bahawa tentera Israel telah menubuhkan “pos tentera rahsia” di Najaf untuk menyokong kempen serangan udara terhadap Iran dan pangkalan itu hampir ditemui pada awal Mac.

Pihak berkuasa Iraq pada Isnin menafikan kehadiran mana-mana pangkalan atau tentera asing yang tidak dibenarkan di wilayah mereka.

Dalam satu kenyataan, pihak berkenaan memaklumkan tentera Iraq bertempur pada Mac dengan sebuah kumpulan yang tidak dikenali yang dibantu oleh pesawat, menyebabkan seorang anggota keselamatan maut, dua cedera dan sebuah kenderaan rosak.

Menurut kenyataan itu, unit tersebut berundur dengan perlindungan pasukan udara.

Sejak itu, pasukan keselamatan Iraq telah melakukan pemeriksaan berkala, terutamanya di kawasan padang pasir, tetapi tidak menemui bukti pangkalan atau pasukan yang tidak dibenarkan.

PMF, yang memainkan peranan penting dalam memerangi IS antara 2014 dan 2017, terus beroperasi bersama pasukan keselamatan Iraq.

Ia telah melaporkan beberapa siri serangan ke atas kemudahannya sejak Amerika Syarikat dan Israel mula menyerang Iran pada akhir Februari./BERNAMA