Berkebun menenangkan emosi, kurangkan tekanan

Pesara Yusof Ahmad bersama isterinya Azizah Lebar mengisi masa lapang mereka dengan melakukan aktiviti berkebun berhampiran kawasan perumahan di Kampung Keramat/BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Berkebun menenangkan jiwa, mengurangkan tekanan melalui hubungan dengan alam, udara segar dan aktiviti fizikal ringan.
  • Ia meningkatkan emosi positif dan keyakinan melalui kejayaan kecil seperti melihat tanaman tumbuh dan berbuah.
  • Berkebun mudah diadaptasi, sesuai semua umur, mengeratkan hubungan keluarga dan menggalakkan gaya hidup sihat.

Era moden kini penuh dengan cabaran dan tekanan kehidupan, kesihatan emosi menjadi aspek penting yang perlu diberikan perhatian oleh setiap individu.

Kesibukan bekerja, masalah kewangan, tekanan pelajaran serta penggunaan teknologi secara berlebihan menyebabkan ramai masyarakat mudah mengalami tekanan mental.

Pelbagai aktiviti yang dilakukan bagi mengatasi masalah tekanan ini antaranya dengan memilih untuk bercuti, bersukan atau melakukan aktiviti hiburan agar dapat membantu mengurangkan tekanan tersebut.

Namun begitu, terdapat satu aktiviti yang ringkas tetapi memberikan kesan besar terhadap ketenangan emosi seseorang, iaitu berkebun. Aktiviti berkebun bukan sahaja menjadi hobi yang menyeronokkan, malah mampu memberikan ketenangan jiwa serta meningkatkan kesejahteraan hidup.

Tekanan emosi merupakan masalah yang sering dialami masyarakat kini. Tekanan hidup yang berlebihan serta tanggungjawab pada kerja yang kadangkala diluar jangkaan.

Tekanan emosi bukan sahaja dapat memburukkan keadaaan kesihatan mental seseorang, malah dapat mengakibatkan kehadiran penyakit lain yang berbahaya seperti darah tinggi, bipolar dan masalah kemurungan.

Menurut Tinjauan Kebangsaan dan Mobiditi (NHMS) tiga tahun belakangan ini, dianggarkan sebanyak 4.6% atau kira-kira satu juta penduduk dewasa di Malaysia mengalami kemurungan.

Jumlah ini semakin meningkat dua kali ganda berbanding pada tahun 2019, dengan hampir separuh daripada individu yang mengalaminya berfikir untuk mencederakan diri atau membunuh diri.

Bagi mengekang peningkatan peratusan ini, Masyarakat atau individu itu sendiri perlu memilih untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti yang dapat membantu menenangkan emosi dan fikiran.

Berkebun merupakan aktiviti yang memberi banyak manfaat kepada manusia. Berkebun merupakan aktiviti yang melibatkan penanaman dan penjagaan tumbuh-tumbuhan seperti bunga, sayur-sayuran dan pokok hiasan.

Aktiviti ini boleh dilakukan bukan sahaja dalam kawasan yang besar tetapi boleh dilakukan di halaman rumah, balkoni, kawasan kampung mahu pun dalam ruang kecil menggunakan pasu. Walaupun kelihatan sederhana, berkebun sebenarnya mempunyai pelbagai manfaat terhadap kesihatan mental dan emosi seseorang.

Ketika berkebun, mental dan emosi seseorang akan kembali stabil dengan cara meluangkan masa bersama alam semula jadi. Ketenangan minda dan rasa damai boleh dinikmati daripada suasana yang tenang, udara segar dan kehijauan alam sekeliling.

Persekitaran seperti ini dapat membantu individu melupakan seketika tekanan dan masalah yang dihadapi dalam kehidupan harian.

Berkebun bukan sahaja dapat menenangkan emosi tetapi juga dapat mengurangkan tekanan dengan aktiviti seperti ketika seseorang menyiram pokok, menggembur tanah atau mencabut rumput liar, fikiran akan lebih tertumpu kepada aktiviti yang dilakukan.

Keadaan ini membantu mengalihkan perhatian daripada perkara yang membebankan fikiran. Selain itu, pergerakan fizikal semasa berkebun juga membantu badan menjadi lebih aktif dan sihat.

Kajian menunjukkan bahawa aktiviti fizikal ringan dapat meningkatkan pengeluaran hormon endorfin yang memberikan rasa gembira dan tenang. Oleh sebab itu, ramai individu menjadikan berkebun sebagai terapi semula jadi untuk mengurangkan tekanan emosi.

Suasana semula jadi di kawasan kebun juga memberikan kesan positif kepada emosi manusia. Warna hijau tumbuh-tumbuhan mampu merehatkan mata dan membantu menenangkan fikiran. Udara segar serta bunyi alam seperti tiupan angin dan kicauan burung turut memberikan ketenteraman kepada jiwa.

Oleh sebab itu, ramai individu memilih untuk meluangkan masa di kebun selepas penat bekerja kerana aktiviti tersebut membantu mereka berasa lebih tenang dan nyaman.

Selain mengurangkan tekanan, berkebun juga mampu meningkatkan emosi positif dalam diri seseorang. Perasaan gembira akan muncul apabila melihat tanaman yang dijaga mula tumbuh dengan subur.

Sebagai contoh, seseorang yang menanam pokok cili akan berasa puas apabila melihat pokok tersebut berbunga dan menghasilkan buah. Walaupun hasilnya kecil, usaha dan kesabaran yang dicurahkan memberikan kepuasan kepada diri sendiri.

Kejayaan kecil seperti ini mampu meningkatkan keyakinan diri dan memberikan semangat positif dalam kehidupan harian. Aktiviti berkebun juga mengajar seseorang supaya lebih sabar kerana tumbuhan memerlukan masa untuk membesar dan berbuah.

Disamping itu, berkebun dapat membantu seseorang mengawal emosi dengan lebih baik. Ada kalanya seseorang berasa marah, sedih atau kecewa akibat masalah tertentu. Apabila individu tersebut meluangkan masa berkebun, emosi negatif dapat dikurangkan secara perlahan-lahan.

Aktiviti menyentuh tanah, menyusun pasu dan menjaga tumbuhan memberikan kesan terapi yang menenangkan hati. Tambahan pula, melihat kehijauan tumbuh-tumbuhan boleh memberikan ketenteraman kepada mata dan fikiran.

Oleh itu, tidak hairanlah jika terdapat pusat rawatan dan rumah kebajikan yang menggunakan terapi hortikultur sebagai salah satu kaedah membantu pesakit mengurangkan tekanan emosi.

Selain itu, berkebun turut membantu mengurangkan rasa bosan dan kesunyian. Ada individu yang tinggal bersendirian atau kurang mempunyai aktiviti sosial. Melalui berkebun, mereka mempunyai sesuatu untuk dilakukan setiap hari.

Aktiviti seperti menyiram pokok, menukar pasu dan memeriksa pertumbuhan tanaman menjadikan kehidupan lebih ceria dan bermakna. Tumbuhan yang dijaga juga seolah-olah menjadi peneman yang memberikan kegembiraan kepada pemiliknya.

Aktiviti berkebun juga mempunyai manfaat dari segi hubungan kekeluargaan. Pada masa kini, ramai ahli keluarga kurang meluangkan masa bersama kerana sibuk dengan pekerjaan dan penggunaan telefon pintar. Melalui aktiviti berkebun, ahli keluarga dapat bekerjasama menanam dan menjaga tanaman.

Sebagai contoh, ibu bapa boleh mengajar anak-anak cara menyemai benih, menyiram pokok dan membersihkan kawasan kebun. Aktiviti seperti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah mampu mengeratkan hubungan antara ahli keluarga.

Anak-anak juga dapat belajar tentang kepentingan menjaga alam sekitar serta menghargai sumber makanan yang diperoleh daripada tumbuhan.

Berkebun juga dapat membantu mewujudkan gaya hidup yang lebih sihat. Individu yang gemar bercucuk tanam biasanya lebih menghargai makanan semula jadi dan hasil tanaman sendiri.

Mereka boleh menanam sayur-sayuran seperti sawi, kangkung, cili dan serai untuk kegunaan harian. Penggunaan hasil tanaman sendiri lebih selamat kerana bebas daripada bahan kimia berlebihan.

Di samping itu, aktiviti berkebun menggalakkan seseorang meluangkan masa di luar rumah berbanding terlalu lama menggunakan telefon atau komputer. Gaya hidup seperti ini dapat membantu mengurangkan keletihan mental akibat pendedahan teknologi secara berlebihan.

Aktiviti berkebun juga membantu meningkatkan kesihatan fizikal. Pergerakan seperti membongkok, berjalan dan mengangkat pasu membantu menguatkan otot dan meningkatkan kecergasan badan.

Walaupun aktiviti ini kelihatan ringan, ia tetap memberikan manfaat kepada kesihatan secara keseluruhan. Apabila badan sihat, emosi seseorang juga menjadi lebih stabil dan positif.

Berkebun juga sesuai dilakukan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur. Kanak kanak boleh belajar mengenal tumbuhan dan menghargai alam sekitar melalui aktiviti ini.

Golongan remaja pula dapat menjadikan berkebun sebagai aktiviti berfaedah untuk mengisi masa lapang. Bagi golongan dewasa dan warga emas, berkebun mampu menjadi terapi yang membantu menenangkan fikiran serta mengurangkan rasa kesunyian.

Walaupun tinggal di kawasan bandar yang sempit, masyarakat masih boleh berkebun menggunakan pasu kecil, botol terpakai atau teknik hidroponik. Hal ini menunjukkan bahawa aktiviti berkebun mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa memerlukan kos yang tinggi.

Kesimpulannya, aktiviti berkebun merupakan satu hobi yang memberikan banyak manfaat kepada kesihatan emosi dan mental seseorang. Berkebun bukan sahaja mencantikkan persekitaran rumah, malah memberikan ketenangan kepada jiwa manusia.

Aktiviti ini mampu mengurangkan tekanan, meningkatkan emosi positif, mengeratkan hubungan kekeluargaan serta mewujudkan gaya hidup yang lebih sihat. Aktiviti ini juga mengajar manusia tentang kesabaran, tanggungjawab dan penghargaan terhadap alam semula jadi.

Dalam dunia yang semakin sibuk dan mencabar, masyarakat perlu mencari cara untuk menjaga kesejahteraan emosi agar dapat menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan bahagia.

Oleh itu, aktiviti berkebun wajar dijadikan amalan harian walaupun hanya bermula dengan menanam beberapa pokok kecil di rumah, kerana ia bukan sahaja mencantikkan persekitaran, malah turut memberikan ketenangan kepada jiwa dan fikiran manusia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Nurul Atiqah Md Suhada
Guru Bahasa Melayu
Pusat Pengajian Citra UKM