
ULASAN BERITA
- BUDI95 dilaksanakan sebagai langkah sementara ekonomi untuk menjaga kestabilan negara dan lindungi rakyat daripada impak kenaikan kos bahan api.
- Dasar BDR mengurangkan penggunaan bahan api, sokong penjimatan negara serta kekalkan produktiviti dan keseimbangan pekerjaan moden.
- Penyelarasan bantuan dan ketelusan penting untuk pastikan golongan miskin dan rentan tidak tercicir serta mengekalkan kepercayaan rakyat.
Konflik yang tercetus susulan perang yang dilancarkan Amerika Syarikat bersama sekutunya, Israel ke atas Iran sejak akhir Februari lalu, terus mengubah landskap geopolitik dunia.
Tidak hanya di rantau Asia Barat, keadaan itu menjadi semakin rumit dan sukar dijangka. Situasi tersebut juga mengakibatkan perang ekonomi dan sekatan antarabangsa.
Ketegangan di laluan strategik seperti Selat Hormuz dan Laut Merah turut mencetuskan kebimbangan terhadap kelancaran rantaian bekalan dunia, khususnya melibatkan sektor tenaga, perdagangan antarabangsa dan pergerakan logistik global.
Malaysia juga menerima tempias dengan menyaksikan peningkatan mendadak kos subsidi bahan api daripada RM700 juta pada Januari kepada RM5 bilion sebulan pada April lalu.
Bagi mengelak kesan lebih serius dalam jangka masa panjang, langkah kerajaan melaksanakan pelarasan sementara Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) mempunyai asas kukuh dari sudut ekonomi selain sebagai langkah awal kerajaan untuk menjaga kestabilan negara.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong mendedahkan kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan. Data kementerian memperlihatkan majoriti rakyat sebenarnya menggunakan bahan api pada kadar yang terkawal.
Kejayaan itu juga disokong dengan dasar bekerja dari rumah (BDR) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar yang berkuat kuasa pada 15 April lalu.
Dasar berkenaan menyokong langkah penjimatan penggunaan bahan api negara. Selain itu ia memperlihatkan usaha dalam mendepani cara kerja moden yang memberi keseimbangan kepada pekerja dan majikan.
Realitinya sektor swasta menyambut baik dan mula mengadaptasi dasar BDR seperti diamalkan dalam perkhidmatan awam.
Langkah berkenaan dapat mengurangkan penggunaan bahan api, meredakan tekanan kos serta mengekalkan produktiviti dan moral tenaga kerja.
Seiring perubahan dinamik industri serta revolusi teknologi, majikan dan pekerja perlu keluar dari zon selesa serta pantas menyesuaikan diri dengan gelombang transformasi baharu dunia pekerjaan moden.
Dalam mendepani cabaran ekonomi, tidak hanya BUDI95, bantuan demi bantuan diumumkan kerajaan dengan naratif prihatin. Ia termasuk bantuan kepada petani, pesawah, dan pekebun kecil untuk meringankan kos sara hidup serta meningkatkan produktiviti.
Bantuan RM200 sebulan menerusi inisiatif BUDI MADANI membuktikan Kerajaan Persekutuan prihatin terhadap golongan petani kecil.
Untuk mengurangkan beban peniaga kecil pula, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri sudah pun mula melaksanakan pengurangan kadar sewa premis atau kedai bawah seliaan masing-masing.
Dalam pada itu penyelarasan semula semua inisiatif, usaha dan bantuan kerajaan seperti diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disifatkan sebagai langkah penting.
Ia bagi memastikan golongan miskin dan rentan tidak tercicir ketika tekanan krisis global terus memberi kesan kepada kenaikan harga barangan harian.
Pendekatan kerajaan itu bukan sekadar ‘talian hayat ekonomi’ untuk rakyat tetapi demi kelangsungan ekonomi negara secara keseluruhannya.
Namun usaha memperjelaskan setiap inisiatif serta dasar yang dilaksanakan kerajaan perlu dibantu dengan kerjasama pelbagai pihak.
Pandangan dan penerangan daripada pakar berkaitan bidang masing-masing penting bagi memastikan rakyat memahami hala tuju yang dirangka, iaitu kerajaan melaksanakan penyesuaian dasar secara berhati-hati, bersasar dan bersifat sementara.
Secara asasnya ia bertujuan memastikan setiap keputusan tidak diambil secara terburu-buru, selain disokong pertimbangan teliti bagi melindungi rakyat serta menjamin kestabilan bekalan.
Ini bukan sekadar soal angka dan liter penggunaan minyak, tetapi berkait rapat dengan kepercayaan rakyat terhadap dasar negara.
Pendekatan secara menyeluruh menuntut semua pihak bergerak dalam kerangka sama dalam membina kefahaman.
Selain itu mengekalkan ketelusan dan memastikan tiada kelompok tercicir dalam agenda pengukuhan ekonomi negara.
Ulasan berita ini disediakan oleh Firdaus Rusli.