
HYDERABAD, 12 Mei – Malaysia akan menyertai mesyuarat menteri luar BRICS yang diadakan di New Delhi pada 14 dan 15 Mei.
- Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Luar India, Subrahmanyam Jaishankar.
- Negara anggota akan bertukar pandangan mengenai isu global dan serantau yang mempunyai kepentingan bersama.
- Sesi Jumaat bertemakan BRICS at 20: Building for Resilience, Innovation, Cooperation and Sustainability.
- Malaysia adalah negara rakan BRICS; anggota termasuk Brazil, China, Mesir, Ethiopia, India, Indonesia, Iran, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan dan Emiriah Arab Bersatu.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka tiba di ibu negara India itu pada Rabu, menurut seorang diplomat Malaysia di Suruhanjaya Tinggi kepada Bernama.
Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar, kata jurucakap kementerian Randhir Jaiswal dalam satu taklimat media di New Delhi.
Negara anggota akan bertukar-tukar pandangan mengenai “isu global dan serantau yang mempunyai kepentingan bersama” pada Khamis, manakala pada Jumaat menteri-menteri BRICS dan wakil negara rakan akan menyertai sesi bertemakan “BRICS at 20: Building for Resilience, Innovation, Cooperation and Sustainability” diikuti dengan perbincangan mengenai “reformasi tadbir urus global dan sistem pelbagai hala,” tambah Jaiswal.
Malaysia merupakan negara rakan organisasi tersebut yang dianggotai oleh Brazil, China, Mesir, Ethiopia, India, Indonesia, Iran, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan dan Emiriah Arab Bersatu.
India akan menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak pemimpin kumpulan itu pada akhir tahun ini.-BERNAMA