
IPOH, 8 Januari– Sebanyak RM30.68 juta kutipan hasil kompaun direkodkan menerusi pelaksanaan tawaran diskaun saman 50 peratus, sepanjang tempoh 1 November hingga 30 Disember tahun lalu.
- Diskaun saman 50% (1 Nov–30 Dis) menjana kutipan RM30.68 juta untuk JPJ Perak.
- Kutipan 2025 meningkat kepada RM239.74 juta, naik RM20.27 juta atau 10.4 peratus.
- Operasi JPJ mencatat 226 kes pelbagai kesalahan jalan raya semasa tinjauan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata jumlah kutipan bagi tahun 2025 itu menunjukkan peningkatan berbanding RM25.8 juta yang direkodkan sebelum ini.
Menurutnya, kutipan kompaun itu menyumbang kepada peningkatan hasil JPJ Perak sebanyak 10.4 peratus pada tahun lalu.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perak mencatat kutipan hasil sebanyak RM239.74 juta bagi tahun 2025, meningkat berbanding RM217 juta pada tahun 2024.”
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM20.27 juta atau 10.4 peratus, mencerminkan prestasi pengurusan yang lebih berkesan,” kata Mohammad Yusoff kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pemberita ketika meninjau Operasi Pengarah JPJ 2026 di Jalan Sultan Azlan Shah, dekat Tasek, di sini.
Sebanyak 226 kes melibatkan pelbagai kesalahan jalan raya direkodkan dalam operasi tersebut.