Malaysia tuan rumah Forum Kanak-Kanak ASEAN Ke-9

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 4 Ogos – Malaysia buat julung kali menjadi tuan rumah Forum Kanak-Kanak ASEAN (ASEAN Children’s Forum) Ke-9, yang menghimpunkan penyertaan kanak-kanak dari negara ASEAN bagi memperkukuh komitmen serantau dalam melindungi hak, kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak daripada segala bentuk keganasan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Forum bertemakan "Shielding ASEAN Childhood: Say No to Violence" memberi ruang kepada kanak-kanak menyuarakan pandangan dan cadangan.
  • Segala syor forum akan diteliti kerajaan sebagai input kepada semakan Akta Kanak-Kanak yang sedang dilaksanakan.
  • Perkembangan pesat teknologi, termasuk kecerdasan buatan, menuntut penglibatan aktif belia dalam perbincangan dasar berkaitan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, forum bertemakan “Shielding ASEAN Childhood: Say No to Violence” memberi ruang kepada kanak-kanak menyuarakan pandangan serta cadangan mereka dalam isu yang memberi kesan kepada kehidupan dan masa depan golongan berkenaan.

Menurut beliau, segala syor yang dikemukakan sepanjang forum akan diteliti kerajaan, termasuk sebagai input kepada semakan Akta Kanak-Kanak yang sedang dilaksanakan.

“Kita mahu mendengar sendiri suara kanak-kanak kerana kita tidak boleh bercakap bagi pihak mereka. Mereka juga merupakan pemimpin masa depan yang akan menentukan hala tuju generasi akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum berkenaan, hari ini.

Tambah beliau, perkembangan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) menuntut penglibatan lebih aktif golongan muda dalam perbincangan berkaitan dasar agar keperluan mereka pada masa hadapan tidak dipinggirkan.

Datuk Seri Nancy berkata tema forum kali ini selari dengan komitmen negara anggota ASEAN yang sedang memuktamadkan ASEAN Regional Plan of Action on the Elimination of Violence Against Children 2026–2035, yang dijadual diperakukan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di Filipina.

Tegas beliau, kerajaan komited untuk terus memperkukuh usaha menghapuskan keganasan terhadap kanak-kanak melalui penyertaan aktif mereka dalam proses membuat keputusan.

Forum yang berlangsung pada 4 dan 5 Ogos itu disertai lebih 150 peserta secara hibrid, termasuk empat wakil kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun dari setiap negara anggota ASEAN, bersama wakil agensi ASEAN, rakan strategik antarabangsa dan pertubuhan masyarakat sivil.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.