fb fb fb fb fb

Malaysia tidak pernah iktiraf Israel, tetap perjuang nasib rakyat Palestin

FOTO BERNAMA

LIMA, 16 November- Malaysia merupakan satu-satunya negara yang terus lantang menyuarakan pandangan mengenai penindasan berterusan Israel ke atas rakyat Palestin.

Dari Riyadh hingga ke Lima, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak jemu mempertahankan nasib rakyat Palestin di pentas dunia.

"Di sidang APEC di Lima Peru, satu-satu pemimpin negara yang bicara tentang Palestin itu Malaysia sahaja. Walaupun tajuknya (APEC) ekonomi dan perdagangan. Saya kaitkan bagaimana ekonomi dan perdagangan bebas kalau ia menafikan satu pihak," katanya.

Justeru, tuduhan sesetengah pihak bahawa kerajaan mengiktiraf kewujudan Israel melalui Wawancara Datuk Seri Anwar bersama CNN adalah berniat jahat semata-mata untuk mengelirukan rakyat.

‘’Malaysia tidak iktiraf (Israel) makanya negara tidak menghantar pegawai kedutaan dan tidak ada hubungan diplomatik itu maksudnya, tapi kalau kata dia (Israel) tidak wujud, dia (Israel) wujud, dia (Israel) anggota PBB, sebab apa saya usulkan di Riyadh sebab dia (Israel) harus disingkir dari PBB maknanya dia (Israel) wujud. Kalau tanya Anwar apakah Israel wujud? Ya Apakah ada 'state of Israel, yes', apakah kamu iktiraf tidak," jelas Datuk Seri Anwar.

Perdana Menteri berharap isu berkenaan tidak dimainkan lagi oleh pihak tertentu demi kepentingan politik sempit mereka.

Beliau turut kesal dengan tindakan segelintir pihak yang cuba memperkecilkan prinsip perjuangan Malaysia mempertahankan hak rakyat Palestin.

Katanya isu pelabuhan dan pesawat Israel yang pernah dilaporkan beroperasi di Malaysia berlaku pada pentadbiran kerajaan terdahulu.

"Masa kamu memerintah, mengapa kamu izinkan kapal Israel berlabuh di Pelabuhan Klang? Masa kamu perintah kenapa kamu izinkan kapal dan pesawat Israel lalu ruang udara kita, dia tidak jawab, masa kita perintah ada tidak kita izinkan Israel berdagang? Tidak! Apa kita izinkan pesawat Israel guna ruang udara kita? Tidak!," tegasnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE