fb fb fb fb fb

Malaysia perlu bina keupayaan teknologi dalaman

Datuk Seri Anwar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 2 Tahun 2025.

KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada teknologi asing, sebaliknya perlu membina keupayaan dalaman termasuk pengkomputeran awan bagi melindungi maklumat terperingkat dan aset strategik negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara berkenaan dibincangkan semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 2 Tahun 2025 hari ini.

Perbincangan turut menekankan keperluan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan ditangani menerusi lensa keselamatan.

“Justeru, kerajaan akan terus memperkukuh benteng siber negara dengan melindungi infrastruktur kritikal, meningkatkan kesedaran awam serta mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan antarabangsa.

“Dari segi perundangan, Rang Undang-Undang Jenayah Siber akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini,” katanya dalam hantaran Facebook.

Perdana Menteri menegaskan setiap individu turut memainkan peranan melindungi data peribadi apabila berurusan dalam talian seperti penggunaan MyDigital ID, yang pendaftarannya kini mencatat purata 25,000 pengguna sehari hasil integrasi dengan aplikasi seperti MyJPJ, MySejahtera, MyBayar PDRM dan MyGOV.

“Komitmen Malaysia turut dizahirkan di peringkat global. Dalam masa terdekat, kita akan menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai jenayah siber di Hanoi, Vietnam, sebagai bukti kesungguhan memperkukuh kerjasama antarabangsa menentang jenayah digital,” katanya.

Menurut beliau, mesyuarat juga menegaskan kepentingan pembangunan teknologi kriptografi pascakuantum (PQC) bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), penyelidik dan industri.

Usaha itu dapat memperkukuh perlindungan infrastruktur kritikal, membendung jenayah siber dan memastikan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat terus terjamin.

JALALUDDIN BIN BAHARIN