
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Malaysia disasar menjadi pelopor dalam bidang penyelidikan klinikal di rantau ini, sebagai langkah strategik memperkukuh sistem kesihatan negara.
- Penyelidikan klinikal mempercepatkan akses pesakit kepada rawatan dan teknologi perubatan terkini.
- Ia berfungsi sebagai jambatan untuk menyediakan terapi inovatif lebih awal sebelum diedarkan secara meluas.
- Usaha ini merupakan kewajipan moral untuk menjamin akses saksama terhadap inovasi kesihatan.
- Ekosistem disokong oleh lebih 3,200 profesional serta pertumbuhan penyelidik baharu, memerlukan penambahbaikan berterusan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kelebihan itu penting bagi memastikan rakyat mendapat akses lebih pantas kepada rawatan dan teknologi perubatan terkini.
“Penyelidikan klinikal bukan sahaja penting untuk kemajuan sains, tetapi ia merupakan jambatan utama yang membolehkan pesakit mendapat akses lebih awal kepada rawatan inovatif yang berpotensi menyelamatkan nyawa.
“Ia juga menyediakan terapi inovatif jauh lebih awal sebelum rawatan berkenaan tersedia secara meluas kepada umum,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan CRM Trial Connect 2026 di ibu negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah itu juga merupakan satu kewajipan moral bagi menjamin akses saksama terhadap inovasi kesihatan.
Ketika ini, ekosistem penyelidikan klinikal negara disokong oleh lebih 3,200 tenaga profesional berkemahiran.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 30 peratus penyelidik utama dalam senarai kehormat tahun lalu merupakan penyelidik baharu.
“Ini adalah petanda jelas kejayaan perancangan penggantian bakat serta sokongan institusi yang kukuh, namun penambahbaikan berterusan tetap diperlukan dari semasa ke semasa,” katanya.