
MEKAH, 7 Mei – Bayaran mahal bukan jaminan untuk mendapat peluang menunaikan ibadah haji memandangkan semua tempat dan rayuan masih tertakluk kepada sistem giliran Lembaga Tabung Haji (TH).
- Waspada sindiket jual pakej premium yang menipu melalui promosi media sosial dan jaminan jalan pintas.
- Jangan tergesa-gesa; semak maklumat rasmi kerana ramai terjebak penipuan akibat keputusan terburu-buru.
- Hanya 34 syarikat dilesenkan oleh Tabung Haji; syarikat PJH yang ingkar boleh dikenakan tindakan tegas.
Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Anuar Ahmad berkata, masih ada bakal jemaah terpedaya dengan tawaran pakej premium kononnya mampu mempercepatkan kelulusan rayuan haji.
Katanya, perkara itu tidak benar kerana setiap permohonan dan rayuan perlu melalui proses ditetapkan TH tanpa dipengaruhi harga pakej.
Menurut Anuar, sikap tergesa-gesa dalam membuat keputusan merupakan faktor utama orang ramai menjadi mangsa penipuan.
Ujarnya, walaupun pelbagai maklumat rasmi telah disalurkan, tetapi masih ada yang tidak menyemak terlebih dahulu dan akhirnya terjebak dengan skim tidak sah.
Katanya, sindiket menggunakan pelbagai helah termasuk promosi di media sosial, tawaran jalan pintas dan jaminan tempat haji tanpa melalui saluran sah.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya melakukan semakan memandangkan hanya 34 syarikat dilesenkan oleh Tabung Haji.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, mana-mana syarikat PJH yang gagal mematuhi syarat atau tidak menunaikan perkhidmatan seperti dijanjikan boleh dikenakan tindakan tegas.